Sabtu, 19 Jun 2010

Pemuda PAS: Najib tak harus ‘rahsiakan’ tarikh bubar Parlimen

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Walaupun menjadi hak mutlak perdana menteri membubarkan Parlimen, Pemuda PAS menegaskan, Datuk Seri Najib Razak tidak harus merahsiakan tarikh mahu memanggil pilihan raya sebagaimana pernah dilakukan oleh ketua-ketua kerajaan sebelum ini.

Pemangku Naib Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, tindakan Najib merahsiakan tarikh pilihan raya umum akan memberi kelebihan kepada jentera Umno-BN yang boleh bersiap sedia dalam tempoh tersebut sedangkan pembangkang masih berteka-teki tanpa persediaan cukup.

“Selain itu, dengan merahsiakannya, mereka juga boleh mempersiapkan senarai daftar pemilih di kawasan yang mereka sasarkan untuk menang,” kata beliau.

“Lihatlah tindakan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang cukup berahsia dengan tarikh pilihan raya sehingga sanggup menipu rakyat.

“Sehari sebelum membubarkan Parlimen beliau berkeras menafikan Parlimen akan dibubarkan tetapi esoknya beliau sendiri yang menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Rabu lalu, Najib mengatakan tarikh pilihan raya umum akan “mengejutkan semua pihak”.

Beliau juga berkata kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihan raya umum akan datang semata-mata berdasarkan kepada satu pendapat bahawa semakin ramai rakyat menyokongnya.

Suhaimi berkata tindakan merahsiakan tarikh pilihan raya umum seperti membelakangkan hak rakyat untuk mengetahuinya.

“Seperti mana perdana menteri sebelum ini yang mempunyai hak untuk menjalankan pilihan raya mengikut sukahati mereka, Najib juga begitu.

“Sudah menjadi amalan sejak dulu, tarikh pilihan raya umum menjadi hak mutlak seorang perdana menteri dan tidak boleh dikongsikan dengan rakyat apatah lagi terhadap pembangkang.

“Ternyata sikap perdana menteri Malaysia selama ini bukanlah menunjukkan mereka seorang negarawan yang berjiwa besar,” katanya.

Beliau berkata sepatutnya perdana menteri perlu mengisytiharkan pilihan raya umum lebih awal, sekurang-kurangnya setahun sebelum itu.

“Ini kerana pilihan raya umum adalah perkara besar dan melibatkan banyak pihak termasuk kos yang sangat tinggi. Lagipun ia hanya diadakan setiap lima tahun.

“Di negara jiran seperti Thailand, Filipina, Indonesia sehinggalah kepada negara maju seperti Jepun, China, Britain dan Amerika Syarikat tarikh pilihan raya umum dimaklumkan sekurang-kurangnya setahun lebih awal supaya semua pihak dapat mempersiapkan diri dan jentera mereka.

“Ia lebih adil kepada parti-parti yang bertanding khususnya kepada pembangkang,” katanya.

Selain itu, Suhaimi berkata kerajaan masih tidak sedar bahawa yang memberikan kemenangan kepada pembangkang adalah kuasa rakyat.

“Kuasa rakyat ibarat gelombang yang sukar disekat oleh apa-apa kuasa.

“Malah kuasa rakyat ini nanti akan terjemahkan hak mereka dalam pilihan raya umum nanti dan bakal menenggelamkan bahtera Umno-BN yang semakin reput,” katanya.

Tiada ulasan: