Selasa, 15 Jun 2010

Pemilik, pewaris tanah setuju pembangunan Kg Baru

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bersetuju dengan cadangan pembangunan semula kampung itu yang akan mengekalkan 100 peratus hak milik Bumiputera.

Persetujuan itu dinyatakan pada sesi perbincangan yang berlangsung antara Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dengan 50 wakil persatuan mewakili pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.

“Sekarang kita bercakap dalam nada yang sama (mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru,” kata Raja Nong Chik selepas pertemuan yang berlangsung kira-kira tiga jam itu.

Dipetik Bernama, beliau berkata pemilik dan pewaris tanah pada perbincangan itu mahu pembangunan Kampung Baru dilakukan secara komprehensif tanpa menjejaskan hak pemilikan bumiputera yang melibatkan 222 kawasan Petempatan Pertanian Melayu (MAS) dan lebih 80 ekar milik kerajaan.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Kampung Baru akan ditubuhkan tahun depan selepas diluluskan di Dewan Rakyat yang bertanggungjawab melaksanajkan dan menyelia pelan pembangunan semula kawasan itu.

Katanya beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah dikenal pasti mampu memainkan peranan membangunkan kawasan itu tanpa menjejaskan hak milik bumiputera termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Tabung Haji dan Pemodalan Hartanah Berhad.

“Antara cadangan lain yang dipersetujui ialah hak milik tanah MAS yang dianugerahkan Sultan Selangor dikekalkan hak milik orang Melayu dan sebarang pembangunan yang dimajukan di atas tanah, boleh disewakan kepada mana-mana pihak dalam jangka masa tertentu, terpulang kepada pemaju pada masa itu.

“Kita juga mengambil kira perbadanan yang ditubuhkan akan membantu pemaju dan pemilik mendapat harga yang adil berdasarkan pembangunan dijalankan, sama ada dibangunkan secara kawasan terbuka atau dibina bangunan pencakar langit,” katanya.

Selain itu, Raja Nong Chik berkata satu pelan induk pembangunan khusus Kampung Baru akan disediakan oleh DBKL dan dijangka dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun depan.

Mengenai soal pemilikan geran tanah, beliau berkata ia akan dipercepatkan dengan status sedia ada, sama ada status pertanian kepada status komersial atau sebaliknya, serta pemilikan tanah MAS kekal menjadi hak milik Bumiputera.

Hadir sama pada perbincangan itu ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Ahmad Fuad Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Bakaruddin Othman dan Yang Dipertua Persatuan Pembangunan Kampung Baru Datuk Paduka Raja Wan Mahmood Pawanteh.

Kampung Baru mempunyai keluasan 122.93 hektar dan berdasarkan penilaian yang dilakukan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta pada Mac 2007 membabitkan 54.4 hektar, kadar yang ditetapkan bagi satu kaki persegi untuk tanah kediaman ialah antara RM270 hingga RM300 dan RM500 hingga RM600 untuk satu kaki persegi bagi tanah perdagangan.

Untuk keterangan lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kwp.gov.my/kampongbaharu.

Tiada ulasan: