Jumaat, 25 Jun 2010

Pelaburan dari China dijangka meningkat

FREE MALAYSIA TODAY


gold-coins-images KUALA LUMPUR: Pasaran modal tempatan bakal menyaksikan kemasukan lebih banyak pelaburan dari China susulan langkah Suruhanjaya Pengawalseliaan Perbankan China (CBRC) mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang diluluskan bagi pengurus dana institusi negara itu.

Pengiktirafan itu membolehkan bank yang diselia CBRC melaburkan dana yang diuruskannya di bawah skim Pelabur Institusi Domestik Berkelayakan China (QDII) dalam pasaran saham, bon dan saham amanah di Malaysia.

QDII adalah satu skim yang membolehkan rakyat China melabur dalam pasaran di luar negara itu menerusi institusi diluluskan.

Dengan pengiktirafan itu, Malaysia kini menyertai barisan 10 negara lain yang diiktiraf di bawah skim sama iaitu Australia, Kanada, Hong Kong, Jerman, Jepun, Luxembourg, Singapura, Korea Selatan, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan berkata, pengiktirafan itu bakal memberi sumbangan besar kepada pembangunan pasaran modal tempatan kerana ia akan mempermudahkan aliran dana dari China ke negara ini selain membuka peluang perniagaan.

Pengerusi SC, Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengerusi CBRC, Liu Mingkang, memeterai perjanjian bagi tujuan itu di Beijing, semalam.

Dengan pengiktirafan itu juga, pengurus dana institusi yang dikawal selia oleh CBRC kini boleh melaburkan dana yang dikumpul daripada pelanggan mereka dalam sekuriti Malaysia, termasuk ekuiti, produk pendapatan tetap dan skim pelaburan kolektif yang diluluskan SC.

Pengurus dana institusi China juga boleh menggunakan perkhidmatan pengurus dana berlesen Malaysia bagi membantu dalam perkara berhubung pelaburan QDII.

Zarinah berkata, dana dari China yang berpotensi mengalir masuk ke Malaysia akan menyumbang kepada peningkatan mudah tunai dalam pasaran tempatan.

“Program QDII membuka peluang kepada pengantara pasaran modal Malaysia mendapatkan laluan ke pasaran China. Justeru, mereka harus menggunakan peluang ini sepenuhnya bagi menarik kumpulan pelabur baru,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, dalam satu kenyataan berasingan berkata, pengiktirafan China itu adalah perkembangan penting bagi pasaran saham tempatan mendapatkan pelaburan dari China.

Beliau berkata, Malaysia adalah negara kedua dalam Asean yang diiktiraf sebagai pasaran dibenarkan di bawah skim QIDD.

“Ini adalah petanda baik bagi Bursa Malaysia dan ini akan menguntungkan kita dari segi meningkatkan tarikan pasaran tempatan sebagai platform mengumpul dana di kalangan syarikat asing khususnya dari China,” katanya.

Tiada ulasan: