Rabu, 16 Jun 2010

Peguam: Tiada kecederaan pada Teoh sebelum disoal

BERNAMA


Mahkamah Koroner yang mendengar inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu setiausaha politik Exco Selangor itu sihat dan tidak cedera sebelum dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam M Manoharan berkata keadaan itu dapat dilihatnya dengan jelas ketika beliau menasihati Teoh supaya bekerjasama dengan SPRM.

Malah, katanya, tiada sebarang reaksi yang menunjukkan Teoh gusar atau takut ketika berdepan pegawai SPRM, sebaliknya beliau memberikan kerjasama yang baik.

Saksi ke-33 itu turut disoal Ketua Pendakwaan SPRM Datuk Abdul Razak Musa sama ada beliau bertengkar dengan Pegawai Penyiasat SPRM Selangor Mohd Anuar Ismail kerana Teoh enggan ke pejabat SPRM.

"Tidak setuju. Saya ada berbincang dengan Mohd Anuar tetapi secara profesional mengenai masa siasatan (luar waktu pejabat)," katanya.

Manoharan adalah peguam yang dihubungi Teoh bagi mendapatkan nasihat berhubung kehadiran pegawai SPRM di pejabatnya, dan beliau antara orang terakhir yang dihubungi mendiang.

Teoh, 30, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan dalam siasatan berhubung penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor, yang pejabatnya terletak di bangunan itu.

Manoharan berkata beliau gagal berjumpa Teoh selepas tiba di pejabat SPRM dan terpaksa menunggu lebih sejam tanpa mendapat sebarang maklumat.

Beliau yang kelihatan kesal kerana tidak dapat menemani Teoh ketika disoal siasat berkata, peguam sepatutnya dibenarkan bersama pelanggannya, tetapi dalam kes ini, haknya dinafikan, malah beliau tidak dilayan sewajarnya dan dibiarkan duduk di ruang menunggu.

Manoharan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, turut menolak cadangan Abdul Razak bahawa beliau cuba menunjukkan kebaikan Teoh bagi meraih simpati.

Sebelum itu, beliau turut menafikan bahawa Teoh sebenarnya takut disoal SPRM kerana ada sesuatu yang disembunyikan dan bimbang ia akan terbongkar.

Prosiding di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung 14 Julai ini.

-

Tiada ulasan: