Ahad, 20 Jun 2010

PDRM beri taklimat khas Selasa ini

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi taklimat khas kepada Kementerian Pengajian Tinggi dan wakil IPTA pada Selasa ini mengenai usaha membendung penyebaran anasir pengganas di institusi pengajian tinggi (IPT).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, taklimat itu turut merangkumi usaha mengekang kegiatan kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) merekrut penuntut IPT menyertai kumpulan itu.

Diminta mengulas dakwaan adanya penglibatan tenaga pengajar IPT dalam JI, beliau berkata: "Saya tidak boleh hendak beritahu apa-apa, biar kita siasat dahulu.”

Beliau berkata, PDRM memantau segala bentuk aktiviti di negara ini termasuk berkaitan dengan pelampau agama dan perkauman dengan dibantu rangkaian risikan.

"Apa sahaja yang boleh menyebabkan keadaan keselamatan negara tergugat, kita akan siasat dan ambil tindakan sepatutnya, sebab itu kita juga pantau melalui risikan bagi mendapatkan maklumat sebelum terjadi sesuatu.

"Kita juga sedang memantau jika ada lagi ancaman militan selain JI dalam negara ini...bagaimanapun saya tidak boleh beritahu semuanya," katanya.

Tiada ulasan: