Ahad, 20 Jun 2010

PBT DISARAN SIAPKAN DEWAN TERGENDALA

SABAH KINI


TERGENDALA.... Marsah mempersoalkan bilakah Dewan yang tergendala ini akan disiapkan kerana tanpa dewan banyak aktiviti terpaksa dibatalkan.

Oleh: HAJI GHULABDIN ENJIH


PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) menerusi Majlis Daerah Tuaran (MDT) yang bertanggungjawab memantau Pembinaan Dewan Masyarakat Tuaran bernilai RM 5 juta yang terbengkalai sejak sekian lama akibat kegagalan pemaju pertama menyiapkan bangunan itu mengikut jadual yang ditetapkan dalam perjanjian, diminta agar mengumumkan kepada orang ramai tambahan peruntukan kewangan kerajaan akibat pertukaran pemaju baru yang menyambung penyiapan bangunan tersebut.

Pemilihan pemaju pertama yang tidak berkeupayaan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah merupakan satu kecuaian yang sepatutnya tidak berlaku seandainya jawatankuasa tersebut membuat penelitian terperinci dengan merujuk rekod pemaju yang ada dalam simpanan serta sesi temuduga yang betul telah diadakan.

"Pelbagai pihak ingin mendapat penjelasan berapakah kos sebenar pembinaan dewan itu? Jika ia tidak terbengkalai, adakah kosnya berkurangan dari peruntukan asal?."

Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tuaran, Marsah Muyong menyesali kelalaian PBT melantik pemaju yang tidak tepat mengakibatkan penduduk Daerah Tuaran meliputi Kawasan Sulaman, Tamparuli dan Kiulu kecewa kerana banyak program besar seperti Pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah baru-baru ini terlepas dan tidak dapat diadakan di daerah ini berikutan Dewan Masyarakat ini terbengkalai pembinaannya.

"Saya sebagai penduduk tempatan di daerah ini meminta pihak kerajaan mendedahkan senarai jawatankuasa pemilihan pemaju bangunan itu untuk memberikan gambaran kepada rakyat bahawa perlantikan pemaju atau kontraktor telah dibuat dengan telus dan teratur," kata Marsah yang juga Bekas Ahli Majlis Daerah Tuaran.

Adalah difahamkan projek yang dijadualkan siap sejak tahun lalu telah disambung pembinaannya oleh kontraktor baru sejak awal tahun ini untuk memastikan dewan serbaguna itu yang dirancang pembinaannya bagi dimanfaatkan oleh masyarakat setempat melaksanakan pelbagai kegiatan dan program.

Marsah berkata, kegagalan kontraktor pertama yang memberikan alasan akibat harga barangan binaan melambung naik secara mendadak tahun lalu tidak boleh diterima sekiranya kerajaan tepat dan teliti melantik kontraktor berwibawa serta berkeupayaan dari segi kewangan.

Beliau bersetuju dengan pelbagai pihak yang mahu agar penyiapan dewan itu tidak tergendala kerana banyak program serta kegiatan kemasyarakatan dan belia di daerah ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna berikutan ketiadaan kemudahan yang bersesuaian.

Jesteru itu, Marsah berharap apabila dewan ini siap kelak, penyelengaraannya yang dipertanggungjawabkan kepada Majlis Daerah Tuaran (MDT) dapat dilakukan dengan sebaik mungkin dan kita merngharapkan kewangan penyelengaraannya dapat disediakan kerajaan.

"Kita berharap apabila siap pembinaannya kelak, kemudahan ini dijaga sebaiknya dan penyelengaraanya dilakukan secara berkala supaya ia dapat digunakan pada tempoh lebih lama," kata Marsah yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa pemantau bebas berkaitan projek kendalian PBT di daerah ini yang baru ditubuhkan.

Sehubungan itu Marsah memberitahu, dewan yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden itu merupakan satu lagi prasarana yang dilihat sebagai antara peningkatan taraf hidup penduduk Daerah Tuaran menerusi kemudahan asas baru yang juga menjadi mercu tanda daerah ini.

Tiada ulasan: