Selasa, 29 Jun 2010

PBB tubuh unit siber tangkis pembangkang, blog

BERNAMA



Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) telah mengambil inisiatif menubuhkan unit siber di bawah Biro Penerangan dan Teknologi Maklumat parti itu bagi menjelaskan isu berkaitan dasar kerajaan, kata Ketua Penerangannya Abdul Aziz Adenan.

Beliau berkata unit itu dikenali Unit Media Baru, akan menangkis dakwaan pembangkang di samping memantau blog dan laman web dengan memberikan penjelasan terhadap isu yang dibangkitkan yang menjejaskan rakyat.

"Kami tidak akan melakukan serangan peribadi tetapi mahu memberikan gambaran lebih jelas mengenai dasar-dasar kerajaan untuk menangkis tuduhan pembangkang," katanya kepada Bernama.

Katanya penubuhan unit itu tepat pada masanya, lebih-lebih lagi selepas permukiman Barisan Nasional (BN) di Taman Negara Mulu di Miri minggu lepas, di mana banyak isu dan masalah dikenal pasti dan dibincangkan sebelum pilihan raya negeri akan datang diadakan.

Mengenai gesaan Presiden PBB dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib, beliau berkata unit itu menyelaraskan tugas utama biro dalam menyelenggara pangkalan data anggota dan menganjurkan latihan komputer untuk membantu menyebarkan fakta yang betul mengenai isu yang diputar-belitkan oleh pihak tertentu.

Beliau berkata timbalan presiden parti Datuk Amar Abang Johari turut menggesa unit siber PBB memantau blog-blog yang antikerajaan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Sih Hua Tong berkata pergerakan itu akan terus menggalakkan anggotanya berinteraksi melalui siber termasuk melalui blog untuk "memberikan penjelasan apa yang sebenarnya berlaku".

Dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen Sibu baru-baru ini, SUPP telah menanggung akibat daripada langkah pakatan pembangkang yang menggunakan pendekatan agresif untuk memenangi pilihan raya kecil itu untuk DAP, termasuk memanfaatkan siber.

Bagaimanapun, Sih berkata anggota telah diingatkan agar tidak memutar-belitkan maklumat untuk mendapatkan sokongan siber kerana cara terbaik ialah memberikan penjelasan yang betul mengenai dasar dan program kerajaan bagi membolehkan rakyat mengetahui cerita sebenar di pihak mereka.

Sementara semakin ramai pelawat laman web yang kini tidak lagi mempamerkan sikap antikerajaan yang keterlaluan, beliau berkata anggota Pemuda BN yang mahir internet perlu mensasarkan golongan antikerajaan tegar yang mungkin mempunyai agenda tersembunyi.


Tiada ulasan: