Selasa, 15 Jun 2010

Pasir: Staf SUK dipanggil

SELANGOR KINI

SHAH ALAM – Polis telah merekodkan keterangan sejumlah kakitangan di tingkat empat bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini berhubung siasatan kehilangan dokumen penting berkaitan urus niaga pasir di dalam simpanan peti besi di pejabat tersebut.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaluddin berkata, siasatan tersebut akan dilakukan dengan teliti dengan meliputi semua aspek.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan jumlah mereka yang telah dipanggil kerana siasatan masih berjalan.

“Mereka yang bertugas di tingkat empat SUK memang sedang dan akan dipanggil untuk dirakam keterangan mereka bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Isu kehilangan dokumen itu menjadi perhatian polis apabila pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri mendapati beberapa dokumen penting mengenai urus niaga pasir di Selangor hilang daripada peti besi tersebut.

PTG negeri melakukan siasatan dalaman ekoran dakwaan wujud amalan rasuah dan penyelewengan anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd., (KSSB) dalam aktiviti melombong pasir di negeri ini.

Ekoran itu satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini oleh pegawai PTG yang melakukan siasatan tersebut pada jam 4 petang kelmarin.

Noor Azam berkata, siasatan itu akan dilakukan daripada semua sudut agar pihak yang bertanggungjawab dapat dihadapkan ke muka pengadilan.- UTUSAN

Tiada ulasan: