Selasa, 15 Jun 2010

Panel siasat beban petani kerana kelemahan kementerian Noh Omar

THE MALAYSIAN INSIDER

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas bagi menyiasat punca masalah yang dihadapi oleh golongan petani bagi mengatasi apa jua kelemahan yang dikenal pasti berpunca daripada kementerian itu.

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata, jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh beliau sendiri akan menjalankan siasatan terperinci pada kadar segera ke atas setiap permasalahan yang dihadapi oleh petani, penternak dan nelayan.

Beliau meminta pengadu tampil untuk bersemuka dengan jawatankuasa berkenaan agar setiap aduan yang dibuat adalah tulen dan tidak bertujuan menganiayai mana-mana pihak.

Sebagai contoh, jika aduan itu dibuat kerana permohonan bantuan oleh pengadu terlalu lambat untuk diproses, kita akan lihat kenapa ia lambat.

“Kita akan siasat pegawai bertugas, bermula daripada pihak yang berurusan dengan pengadu dari peringkat permulaan, hinggalah daerah, negeri dan kementerian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Khidmat Cemerlang 2009 Jabatan Pertanian di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Aduan itu bukan bertujuan mencari salah penjawat awam, sebaliknya mahu melihat secara keseluruhan sistem penyampaian dan perkhidmatan kementerian.

“Kita nak lihat, mungkin ada kelemahan, mungkin kurang berkesan dan mungkin juga tindakan lambat diambil ke atas permohonan atau masalah golongan petani kerana kakitangan terikat dengan dasar atau peraturan yang sudah lapuk,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata kementerian akan menumpukan kepada usaha menjaga kebajikan kakitangan, khususnya kakitangan bawahan di seluruh pelusuk negara.

“Kementerian akan melakukan kerja-kerja pembaikan dan menaik taraf kuarters kakitangan bawahan ini, melibatkan seluruh negara supaya mereka dapat tinggal dalam keadaan selesa. Apabila kakitangan ini mendiami sebuah rumah yang selesa, semangat untuk bekerja dengan lebih baik juga akan tinggi,” katanya.

Tiada ulasan: