Rabu, 2 Jun 2010

Pakatan setuju adakan kajian separuh penggal prestasi 4 negeri


KUALA LUMPUR, – Pakatan Rakyat (PR) telah mencapai kata sepakat untuk mewujudkan sekretariat menilai prestasi dua tahun pentadbiran empat kerajaan negerinya dengan mengadakan kajian separuh penggal.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat kepimpinan PR yang diadakan di sini petang semalam, empat hari selepas idea mengenainya dilontarkan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

PR mencipta sejarah dengan menguasai lima kerajaan negeri pada pilihan raya umum 2008.

Bagaimanapun ia kehilangan Perak awal tahun lalu ekoran tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri itu melompat parti.

Selain menguasai lima negeri ia juga menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen dan memperoleh 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kami sudah masuk tahun kedua, sudah dua tahun mentadbir... jadi perlu menilai prestasi, pencapaian dan kekurangan yang ada.

“Kajian separuh penggal ini akan menilai prestasi kerajaan-kerajaan negeri yang diterajui oleh Pakatan sekarang dan persepsi rakyat dan lain-lain lagi,” kata Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu memberitahu, kajian itu akan dikendalikan dengan pembabitan wakil ketiga-tiga parti dengan penyertaan pakar-pakar dari pelbagai bidang dan pertubuhan bukan kerajaan.

Beliau menjelaskan tempoh dan skop terperinci mengenai sekretariat kajian separuh penggal akan diputuskan kemudian.

“Yang butiran lanjut kami akan umum kemudian,” katanya.

Ketika ditanya sama ada kajian separuh penggal itu turut merangkumi keberkesanan Dasar Bersama PR, beliau memberitahu, Dasar Bersama merupakan aspek berbeza dan tidak akan disertakan dalam kajian separuh penggal ini

“Dasar Bersama adalah semacam manifesto Pakatan, ia tidak dimasukkan dalam kajian separuh penggal ini... kajian separuh penggal ini akan menyentuh apa yang telah dan apa yang belum dilakukan, prestasi PBT, agensi-agensi kerajaan negeri, kehendak rakyat dan lain-lain lagi,” katanya.

Dasar Bersama PR diluluskan pada konvensyen sulungnya pada 19 Dis lalu.

Ketika mengemukakan idea itu pada sidang akhbar selepas perasmian Kongres Nasional Keenam PKR di Kota Baru Sabtu lalu, Lim berkata, pihaknya akan membincangkan idea agar diadakan kajian separuh penggal kerajaan negeri PR selepas dua tahun memerintah.

“Kita sudah memerintah selama dua tahun dan ada baiknya kita melakukan kajian separuh penggal ini... masa yang sesuai untuk menilai prestasi kerajaan negeri... pendekatan, cara... untuk melihat prestasi dari segi aspirasi, harapan rakyat,” kata Lim.

Lim berkata kajian separuh penggal itu akan melibatkan keempat-empat kerajaan negeri yang masih diterajui PR iaitu Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Beliau yang juga anggota Dewan Rakyat berkata, bagi tujuan itu PR boleh mengambil perkara-perkara yang ditekankan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam ucapan dasarnya di kongres itu.

Kajian itu dipercayai akan mengambil kira rasa kecewa Angkatan Muda Keadilan (AMK) bahawa PR tidak melaksanakan Dasar Bersama PR dengan efektif.

Tiada ulasan: