Khamis, 24 Jun 2010

Pakatan Rakyat Yakin Pertahankan Kerusi Batu

Oleh Fazli Othman


KUALA LUMPUR - KEADILAN akan mempertahankan kerusi parlimen Batu sekiranya pilihan raya kecil diadakan berhubung status kerusi tersebut yang menjadi isu setelah hakim Mahkamah Tinggi membuat keputusan kontroversi terhadap penyandangnya, Tian Chua Jumaat lalu.

Naib Presiden KEADILAN yang juga Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali berkata Tian Chua telah menjalankan tugasnya dengan begitu baik sekali dan yakin parti tidak ada masalah besar untuk mempertahankannya.

"Beliau bukan sahaja menjadi pemimpin bagi masyarakat Cina tetapi juga telah mengangkat martabat bangsa semua kaum di Malaysia.

"Ini bukanlah perkara yang menyulitkan untuk KEADILAN dan Pakatan Rakyat mempertahankan kerusi tersebut kerana beliau merupakan seorang ahli parlimen yang menjalankan amanah dan ini memberikan laluan yang mudah kepada kita.

"Saya kira dengan jentera yang beliau telah bentuk di parlimen Batu dengan sokongan Pakatan Rakyat kita dapat mengekalkan kawasan parlimen Batu sekiranya pilihan rayakKecil diadakan," ujar Azmin.

Dalam pada itu, peguam Tian Chua, Ranjit Singh yang mewakilinya dalam kenyataan media Rabu lepas dipetik sebagai berkata permohonan kesnya itu akan difailkan di Mahkamah Rayuan seawal minggu depan.

Tian Chua diberi tempoh 14 hari untuk merayu keputusan Mahkamah Tinggi itu yang menetapkan denda sebanyak RM2,000 atau dua bulan penjara atas kesalahan menggigit polis.

Pertikaian pada masa ini tertumpu kepada kesan denda tersebut ke atas kerusi Chua, memandangkan Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa kerusi seseorang wakil rakyat boleh dibatalkan oleh mana-mana mahkamah sekiranya dihukum denda "tidak kurang daripada RM2,000."

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 17 Jun lalu mengurangkan hukuman denda sebanyak RM3,000 atau enam bulan penjara, yang ditetapkan oleh Mahkamah Majistret pada 29 Oktober tahun lalu.

Tiada ulasan: