Sabtu, 5 Jun 2010

Pakatan bawa isu pilihan raya ke peringkat global



Shamsul memberi ucapan pembukaan beliau semasa Kongres Nasional Keenam PKR di Kota Baru. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Pakatan Rakyat (PR) mahu meneruskan tekanan menuntut pilihan raya yang adil dan bersih dengan membawanya ke peringkat antarabangsa susulan perkembangan ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor dan Sibu.

Perkara itu diputuskan pada mesyuarat majlis presiden PR Selasa lalu.

“Mengambil kira apa yang perlu ketika pilihan raya kecil di Hulu Selangor dan Sibu, kami memutuskan untuk meneruskan tekanan di kedua-dua peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bagaimanapun mekanisme mengenai usaha meneruskan tekanan itu akan dibincangkan oleh jawatankuasa pilihan raya yang dianggotai oleh pengarah pilihan raya parti komponen PR.

“Butiran akan diputuskan oleh jawatankuasa, tetapi apa yang diputuskan ialah keperluan untuk meneruskan usaha menuntut agar pilihan raya yang bersih dan adil di negara ini,” katanya.

Malah kata beliau, selain tuntutan petisyen yang dibuat oleh Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini, PR juga akan mengumpulkan maklumat terperinci untuk dibawa ke pengetahuan masyarakat antarabangsa.

The Malaysian Insider difahamkan keputusan itu dicapai selaras dengan keputusan Kongres Nasional Keenam PKR di Kota Baru minggu lalu.

Selain itu, Dewan Pemuda PAS juga akan membahaskan usul agar diadakan Gerakan Bersih II bagi menuntut pilihan raya yang bersih dan adil ketika mengadakan muktamar mereka di Kota Baru minggu depan.

“Kami akan menggesa agar diadakan Gerakan Bersih kali kedua meminta beberapa kelemahan dalam sistem pilihan raya diperbaiki.

“Perkara-perkara seperti sistem daftar bersih dan pemansuhan undi pos yang pernah ditekankan semasa Gerakan Bersih pertama belum menampakkan hasil,” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kayat.

Dalam ucapan dasarnya Sabtu lalu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menggesa Pakatan Rakyat agar sekali lagi diadakan himpunan Bersih untuk menjamin perjalanan pilihan raya yang adil.

“Saya juga mencadangkan kepada Pakatan Rakyat untuk merancang sekali lagi Himpunan Bersih dengan azam yang kuat menuntut pilihan raya yang bersih, adil dan telus,” kata beliau.

Perhimpunan Bersih kali pertama telah digerakkan di ibu negara pada 10 Nov 2007 untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ia telah dianjurkan oleh pertubuhan Bersih yang turut disertai pelbagai parti pembangkang dan badan bukan kerajaan untuk menuntut pilihan raya yang adil.

Pengarah Pilihan Raya PKR Fuziah Salleh pula berkata, beliau sudah dimaklumkan tentang keputusan PR Selasa lalu.

“Saya tidak hadir mesyuarat hari itu, tetapi saya sudah dimaklumkan tentang keputusan yang dicapai.

“Kami akan mengadakan perbincangan mengenai keputusan yang dicapai,” kata beliau sambil menambah, PKR buat masa sekarang sudah ada rangkaian kerjasama dengan Rangkaian Asia Bagi Pilihan Raya Bebas (Anfrel), yang ditubuhkan pada 1997.

Kerjasama itu akan digunakan dalam usaha menuntut pilihan raya bebas dan adil, katanya.

“Pengalaman ini akan dikongsi bersama dengan rakan-rakan dalam Pakatan,” katanya.

Tiada ulasan: