Rabu, 30 Jun 2010

Nurul Izzah Bidas Menteri Wilayah Tidak Menjawab Soalan

Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar hari ini mengkritik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin kerana gagal menjawab pertanyaan lisan dalam sesi soalan lisan di Dewan Rakyat.

Izzah dalam soalan pertamanya meminta menteri berkaitan menyatakan dasar ekonomi, sosio dan politik yang diambil kerajaan apabila memutuskan membuat rundingan terus bagi pembangunan tanah seluas 3,000 ekar di Sungai Buloh berbeza dengan pengumuman pada November 2008.

Beliau turut menuntut Nong Chik menerangkan anggaran keuntungan kerajaan bagi projek pembangunan lapangan terbang lama Sungai Besi sekiranya dilaksanakan mengikut tender terbuka.

Bagaimanapun, Nong Chik seraya menjawab dengan nada bersahaja mengarahkan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menunggu jawapan bertulis daripadanya.

"Kita (pihaknya) akan jawab secara bertulis," kata Nong Chik.

Sebaliknya, Izzah memaklumkan Dewan bahawa beliau telahpun menerima jawapan secara bertulis berkenaan, namun penjelasan yang dikemukakan menteri bertanggungjawab itu tidak berkaitan dengan apa yang diminta beliau.

Izzah dengan lantang seterusnya menyuarakan bantahan ke atas jawapan yang diberikan menteri yang seolah-olah mahu mengelak daripada menjawab soalan yang dikemukakan tersebut pada ketika itu.

"Satu jawapan yang diminta pun menteri tak boleh nak jawab," tegas Izzah lagi.

Tiada ulasan: