Isnin, 14 Jun 2010

Nik Aziz: Anwar layak ketuai Pakatan, saya tak mahu

BERNAMA


KOTA BARU — Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak mahu menjadi pemimpin nombor satu dalam pakatan pembangkang jika mereka berjaya menawan Putrajaya.

Sebaliknya Menteri Besar Kelantan (gambar) itu berkata orang yang paling layak meneraju pakatan ialah penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya tak mahu jadi orang nombor satu, walaupun ada orang yang mencadangkan saya begitu. Dari dulu lagi saya sentiasa menyebut orang paling layak ialah Anwar sebab dialah orang yang telah lalui tahap peperiksaan (ujian) fizikal dan mental.

“Kalau orang lantik saya, saya akan beri pada dia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Persatuan Biologi Gunaan Malaysia Ke-11 di sini hari ini.

Beliau berkata Anwar juga lulus daripada segi moral.

Nik Aziz diminta mengulas saranan seorang perwakilan pada muktamar Ke-56 PAS yang berakhir semalam agar Menteri Besar Kelantan itu dilantik peneraju pakatan pembangkang berasaskan kewibawaan dan kejayaannya memimpin Kelantan selama 20 tahun.

Dalam saranannya, perwakilan dari Perlis Wan Khairizal Wan Hazim berkata gaya kepimpinan Nik Abdul Aziz juga diterima semua pihak dalam komponen pakatan pembangkang itu.

Mengulas mengenai pandangan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS Islam yang menyamakan beliau dengan pemimpin ulung India Mahatma Gandhi, Nik Aziz berkata: “Tidak mengapa, saya terima daripada segi sifat orang melihat saya.”

Tiada ulasan: