Selasa, 15 Jun 2010

Muktamar Tahunan PAS: Buaya dalam air tenang?

Lim Hong Siang



Muktamar Tahunan PAS ke-56 telah melabuh tirai pada Ahad yang lalu. Sebagaimana yang diperhatikan, perdebatan "kerajaan perpaduan" gagal mengambil tempat dalam muktamar yang berlangsung untuk tiga hari di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa ini.

Dari pucuk pimpinan hinggalah perwakilan, termasuk yang terjerat dengan label "pro-UMNO", kini sebulat suara menyokong agar PAS terus berada dalam Pakatan Rakyat, bersama DAP dan PKR, lantas menutup pintu untuk kerjasama dengan UMNO.

Namun demikian, bagaimana pula tanggapan dunia rencana bahasa Cina terhadap senario ini?

Malaysiakini edisi bahasa Cina

Dalam satu analisa yang disiarkan Malaysiakini edisi bahasa Cina, Kuek Ser Kuang Keng menganggap kesudahan muktamar dengan suasana "perpaduan" yang diwujudkan sememangnya di luar dugaan penganalisa politik, yang sebelum ini menjangkakan pertentangan hebat antara sekta pro-UMNO dengan pro-Pakatan Rakyat.

Kuek Ser Kuang Keng menulis, agak mustahil kedua-dua sekta pro-UMNO dan pro-PR mencapai persetujuan dalam hal ini, kerana perbezaan yang terlalu jelas. Namun, perdebatan halatuju dan pendekatan politik parti tidak hangat dalam muktamar ini, kerana kedua-dua sekta mendahulukan "kestabilan" daripada segala-galanya, setelah memahami bahawa PAS tidak boleh untuk meretak lagi setelah kehilangan undi Melayu dalam beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini, misalnya PRK Manek Urai untuk PAS.

Sebagaimana yang ditulis Kuek Ser Kuang Keng, muktamar ini menyaksikan perdebatan dalam isu pengurangan undi Melayu / peningkatan undi bukan Melayu antara sekta pro-UMNO Nasrudin Hassan Tantawi dengan sekta pro-Pakatan Rakyat Khalid Samad dan Dzulkefly Ahmad. Akhirnya, Setiausaha Agung yang pro-UMNO berkompromi bahawa tiada kehilangan dalam undi Melayu, cuma kadar peningkatannya tidak setinggi undi bukan Melayu.

Menurut Kuek Ser Kuang Keng, sekta pro-PR yang diketuai Mursyidul Am Nik Aziz, telah berjaya mengorak satu langkah lebih awal sebelum muktamar, dengan menegaskan pendirian PAS untuk bersama PR. Situasi ini menutup ruang sekta pro-UMNO untuk membangkitkan pandangan yang berbeza. Lebih-lebih lagi, seandainya PAS kecundang dalam PRU yang akan datang berikutan perbezaan pendapat ini, maka sekta pro-UMNO yang mendominasi pucuk pimpinan kini akan dituding jari.

Namun, Kuek Ser Kuang Keng mengingatkan bahawa ia mungkin terlalu awal untuk menyimpulkan bahawa sekta pro-UMNO telah kehilangan pengaruh. Beliau menganjurkan satu kemungkinan, iaitu sekta pro-UMNO ini mungkin menunggu masa "pasca-Nik Aziz", kerana sekta pro-PR diketuai Nik Aziz yang sudah berusia 79 tahun. Malah, beliau berkata isu sama ada sekta pro-PR mampu menampilkan seorang tokoh yang berwibawa, seandainya PAS kehilangan Nik Aziz, telah menjadi tumpuan ramai.

Dalam analisa Kuek Ser Kuang Keng, sekta pro-UMNO mungkin menggunakan kuasa pencaturannya dalam PRU untuk menghakis kuasa sekta pro-PR, dan kembali dengan agenda rundingan bersama UMNO pada zaman "pasca Nik Aziz".

Oreintal Daily

Dalam media cetak bahasa Cina pula, Lum Chih Feng di Oriental Daily mengimbas bagaimana pertikaian berubah dari perdebatan sekta pro-UMNO dengan sekta Erdogan kepada pertikaian sumber undi, sama ada untuk mengukuhkan undi Melayu di luar bandar, ataupun mengorbankan sedikit undi Melayu di luar bandar untuk menukar lebih undi bukan Melayu. Beberapa pilihan raya kecil selepas PRU ke-12 memaksa PAS untuk memikirkan soal kecenderungan undi selepas ini, dan keputusannya secara tidak langsung bakal mempengaruhi kewujudan parti tersebut.

Dalam satu analisa yang disiarkan di muka surat A5 pada 14 Jun 2010, Lum Chih Feng berkata muktamar kali ini menyaksikan pertikaian antara dua sekta yang berbeza pandangan, sama ada PAS benar atau tidak kehilangan undi Melayu kerana terlalu mendampingi DAP. Beliau berkata, tiada kata putus dalam muktamar tahunan ini. Malah, Lum Chih Feng menjangka isu ini akan terus diperdebatkan selepas ini, dan kedudukan PAS dalam arena politik Malaysia bakal ditentukan sejauh manakah PAS menyelesaikan isu ini.

Kwong Wah Yit Poh

Kwong Wah Yit Poh memilih muktamar PAS sebagai tajuknya dalam ruang lidah pengarangnya pada 15 Jun 2010, berjudul "PAS khuatir hilang kuasa di Selangor-Kedah". Pengarang kelihatan bersetuju dengan pandangan bahawa Pakatan Rakyat kehilangan undi Melayu, dengan mengemukakan bukti bahawa PR menang tipis dalam PRK Manek Urai dan kalah dalam PRK Hulu Selangor.

Namun demikian, berbeza dengan pemimpin/perwakilan PAS yang meluahkan kekhuatiran ini, pengarang sebaliknya mendakwa bahawa PR mungkin kehilangan kuasa atas sebab yang lain. Dari kaca mata pengarang, PR dibelenggu dengan pelbagai masalah selepas kemenangan dalam PRU ke-12. Antaranya, Anwar Ibrahim terjerat dengan kes liwat, fenomena lompat parti, dasar Islamisasi di sesetengah kerajaan negeri Pakatan Rakyat seperti mengharamkan judi, arak, isu pusat penyembelihan khinzir, papan tanda jawi dan sebagainya, yang pada pendapat pengarang, mencungkil ketidakpuasan bukan Islam.

Kesimpulannya, undi Melayu dan India memperlihatkan kecenderungan untuk kembali ke pangkuan BN. Sokongan pengundi Cina terhadap PR pula kekal pada kedudukannya. Jadi, DAP dijangka kekal bertahan di Pulau Pinang, sebaliknya kuasa PR di Selangor dan Kedah berada dalam keadaan genting.

"Dalam PRU yang akan datang, kuasa kerajaan negeri mungkin bertukar tangan di Selangor dan Kedah, melainkan jika pemimpin PAS sanggup mengetepikan idealismenya untuk menubuhkan sebuah negera teokrasi, dan tidak mengambil pendekatan perkauman, malah jikalau UMNO masih tidak sedar akan kesilapan diri, dan terus memerintah dengan minda 'UMNO didahulukan'."

Sinchew Daily

Dalam ruang lidah pengarang Sinchew Daily pada 15 Jun 2010, yang berjudul "Lima kemungkinan yang mempengaruhi PAS", pengarang mengemukakan analisa yang agak berbeza. Tanpa mendefinisikan secara jelas kedudukan pemimpin dalam PAS, lidah pengarang ini menyenaraikan lima kemungkinan yang bakal mempengaruhi PAS pada masa yang akan datang:-

Pertama, interaksi antara Presiden PAS Hadi Awang dengan Timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Analisa ini melihat Nasharudin tidak sehaluan dengan Hadi. Dua ramalan perkembangan seterusnya, Nasharudin cuba membebaskan diri daripada sekatan Hadi, dan mendampingi "pendekatan tengah". Ramalan kedua, Nasharudin berganding dengan Hadi, dan memasuki era pentadbiran "Hadi-Nasha".

Kedua, interaksi antara Nik Aziz dengan Hadi. Cabaran pertama gandingan Nik Aziz - Hadi datang daripada Dewan Ulama dan Dewan Himpunan Penyokong PAS. Pengarang melihat cubaan Hadi-Nasha untuk merobek UMNO, dengan strategi membuka pintu kepada sebahagian daripada musuh, agar musuh dipecah-belahkan. Selain itu, pengarang melihat Harun Taib sebagai orang rapat Nik Aziz, dan dikhabarkan akan mengambil pendekatan yang asing daripada induk parti.

Ketiga, interaksi antara ketiga-tiga puak, iaitu Dewan Himpunan Penyokong PAS, Dewan Ulama dan sekta pro-UMNO. Seandainya Hadi menolak campur tangan Nik Aziz secara mendalam, maka akan wujud kontradiksi politik dan pertentangan kepentingan antara ketiga-tiga puak di atas. Sebaliknya, jikalau Hadi bertekad untuk menuju ke arah era gandingan "Hadi-Nik Aziz", maka ketiga-tiga puak di atas bakal menjadi sayap PAS, kalaupun bukan "kerajaan bayangan".

Keempat, halatuju PAS selepas ini. Seandainya kuasa Dewan Himpunan Penyokong PAS semakin berkembang, maka ia akan merangsang pandangan sekta fundamentalis, dan mengukuhkan pandangan yang menyamakan "keterbukaan" dengan "mengkhinati PAS", maka PAS akan berkembang ke arah separatisme dan pertentangan kaum. Lebih-lebih lagi, sekiranya dilaga-lagakan oleh UMNO, maka perebutan kuasa antara Nik Aziz, Hadi dan Nasharudin akan berpaut dengan pergelutan untuk menentukan halatuju dan pendekatan politik PAS, yang semestinya keadaan yang lebih meruncing untuk PAS.

Kelima, perubahan dalam struktur penyokong parti ini. Biarpun lanskap politik PAS semakin meluas, pada masa yang sama, struktur penyokong PAS juga berbelah dua. Kelantan dan Terengganu menjadi tapak penyokong yang berhaluan fundamentalis, sementara penyokong bukan Melayu juga memperlihatkan peningkatan. Penambahan sokongan bukan Melayu mungkin merunsingkan kumpulan fundamentalis dalam parti.

*Kaleidoskop adalah "digest" kandungan media bahasa Cina. Media yang dirujuk bertarikh 14 dan 15 Jun 2010, berkisar pada Muktamar Tahunan PAS ke-56

Tiada ulasan: