Selasa, 1 Jun 2010

Mugilan: Semakin ramai kaum India sokong GAS


mugilan Oleh Muda Mohd Noor


KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan mendakwa semakin ramai masyarakat India di negara ini menyokong usahanya menubuhkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) untuk mempercepatkan Datuk Seri S Samy Vellu melepaskan jawatannya sebagai presiden.

"Semakin ramai yang menyatakan sokongan kepada GAS, mereka kini lebih berani menyokong saya dan GAS. Masyarakat India bukan lagi boleh diperbodoh dan ditakutkan secara bukan-bukan," katanya ketika ditemui di ibu negara semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan dan sambutan masyarakat India terhadap GAS yang dilancarkan Ahad lalu.

Mugilan melancarkan GAS bagi mempercepatkan pengunduran Samy Vellu dari jawatan presiden MIC daripada yang dijadualkan pada Julai 2012.

Ditanya mengapa jumlah kehadiran semasa pelancaran GAS tidak ramai seperti dijangkakan, Mugilan berkata, mereka takut datang kerana diugut.

"Tetapi jumlah yang datang itu sudah cukup memberi isyarat kepada Samy Vellu supaya beliau berundur lebih awal daripada jadual asal.

"Saya dan kaum India yang lain memikirkan semasak-masaknya tarikh pengunduran beliau dari jawatan presiden MIC. Bagi masyarakat India lebih cepat beliau berhenti lebih baik," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC T. Mohan meminta Mugilan menghentikan retoriknya mahu Samy Vellu melepaskan jawatan presiden MIC lebih awal.

“Beliau telah gagal untuk mendapatkan 15,000 penyokong untuk perhimpunan GAS. Bagaimana nak minta Samy Vellu berhenti jika yang datang sedikit sahaja," katanya.

Hanya kira-5,000 yang datang di majlis pelancaran GAS di Seri Kembangan, Ahad lalu.

Manakala Ketua Penerangan MIC S. Subramaniam menafikan sebahagian besar yang datang ke majlis GAS itu adalah ahli MIC

Tiada ulasan: