Khamis, 3 Jun 2010

Mugilan, Kumar kemuka rayuan batal pemecatan

BERNAMA



Timbalan Ketua Pemuda MIC, V Mugilan dan ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), G Kumar, yang dipecat minggu lalu sudah membuat rayuan di atas pemecatan masing-masing.

Mugilan berkata, surat rayuan itu sudah di hantar kepada Setiausaha Agung parti, Datuk T Rajagopalu, oleh peguamnya.

"Peguam saya sudah menghantar surat rayuan itu tengah hari tadi seperti yang dikehendaki dalam surat pemecatan saya. Dalam surat itu, saya diberi tempoh 14 hari untuk membuat rayuan," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Mugilan, yang menganjurkan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) pada Ahad lalu untuk mendesak Samy Vellu supaya berundur, berkata beliau akan menerima apa sahaja keputusan yang dibuat.

"Sekiranya rayuan diterima, saya akan bertugas kepada MIC dan Barisan Nasional. Jika ditolak, saya terima dan tidak akan pergi kepada parti pembangkang," katanya.

Beliau dipecat bulan lalu kerana meminta Samy melepaskan jawatannya selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Mugilan juga mengumumkan bahawa satu lagi perhimpunan GAS yang dinamakan sebagai "GAS Satu" akan diadakan di Dewan Hamzah, Klang pada 13 Jun ini dan akan diketuai oleh seorang lagi anggota CWC yang dipecat, KP Samy.


Tiada ulasan: