Ahad, 20 Jun 2010

MTUC Tolak Cadangan Pindaan Akta, Nasib Pekerja Lebih Terabai


BERNAMA

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini meminta semua kesatuan sekerja dan pekerja di negara ini menolak cadangan Pindaan Undang-Undang Buruh 2010 oleh Kementerian Sumber Manusia yang didakwa menindas golongan itu.

Presidennya, Syed Shahir Syed Mohamud berkata pindaan itu tidak akan membela nasib pekerja dalam pelbagai sudut, termasuk isu gaji minimun dan bayaran pampasan terhadap pekerja yang hilang pekerjaan bukan akibat kecuaian mereka.

Beliau difahamkan bahawa antara akta yang akan dipinda termasuk Akta Pekerja, Akta Perhubungan Perusahaan dan Akta Kesatuan Pekerja.

"Perlindungan pekerja di negara ini yang terdapat pada masa inipun sangat minimum, jadi sekiranya ada lagi pindaan yang akan dibuat, maka nasib pekerja tidak akan terbela dan terus terabai," katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Perdana Pekerja Tolak Cadangan Pindaan Undang-Undang Buruh Kementerian Sumber Manusia.

Syed Shahir berkata pihaknya akan menjalankan kempen memberi penerangan kepada semua pekerja supaya pindaan itu tidak dilaksanakan.

"Apa yang kita maklum pindaan Undang-Undang Buruh itu mahu dibuat pada bulan Julai, dan sekiranya ia terjadi, maka tidak mustahil sehingga 100,000 pekerja akan menyertai perhimpuan raksasa itu demi memperjuangkan hak sebagai pekerja," katanya.

Tiada ulasan: