Jumaat, 4 Jun 2010

MP Kapar hadap Selcat tapi dilarang bawa 2 saksi utama

TERKINI


SHAH ALAM — Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam menghadap Selcat pagi ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaannya wujud amalan rasuah di Kumpulan Semesta tetapi mengalami halangan awal apabila dilarang membawa saksi-saksi utama.

Pengerusi Selcat Teng Chang Khim melarang wakil rakyat itu daripada mengemukakan dua saksi atas alasan jawatankuasa itu tidak menerima kenyataan daripada mereka.

“Kami hanya boleh memanggil Encik Chong kerana hanya dia yang mengemukakan dokumen (kepada Selcat),” kata Teng yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selcat yang mengadakan pendengaran awam bersidang buat hari ketiga hari ini berhubung dakwaan amalan rasuah di syarikat perniagaan pasir negeri Selangor itu.

Meskipun Manikavasagam menggesa agar dibenarkan mengemukakan dua saksi termasuk seorang staf Kumpulan Semesta dan kontraktor pasir, Teng bertegas dengan pendiriannya sambil berkata, Selcat perlu menerima kenyataan bertulis daripada saksi terlebih dahulu sebelum jawatankuasa boleh memutuskan sama ada memanggil saksi-saksi terbabit.

“Saya ada VCD yang akan menunjukkan kesemua bukti... saya ada lebih banyak dokumen yang boleh dikemukakan kemudian,” kata Manikavasagam.

Apabila Teng memberitahunya bahawa beliau tidak boleh berbuat demikian di peringkat semasa dan apabila memanggil saksi Cheong Hoong Wooi, wakil rakyat itu bangun dan meninggalkan dewan pendengaran awam.

Cheong, kontraktor perlombongan pasir mendedahkan bahawa Pengurus Pemasaran Kumpulan Semesta Wong Swee Leong ada memintanya supaya bayar komisyen RM1 bagi setiap tan matrik November lalu bagi “pasir pada masa-masa akan datang.”

Tambahan pula menurut Cheong, meskipun Wong telah mengesahkan harga RM12.50 bagi setiap tan matrik bagi pasir di Sungai Darah, beliau telah mengkaji semula harga sehingga RM14 selepas hampir kesemua simpannya habis.

Kenyataan itu bercanggah dengan maklumat Pengarah Eksekutif Ramli Abd Majed semalam bahawa syarikat tidak mengubah harga sebaik sahaja tender diberikan.

Kontraktor itu menambah Kumpulan Semesta membenarkannya membuat bayaran dulu dan mendapatkan pasir kemudian.

“Saya juga mahu mengadu bahawa Kumpulan Semesta tidak memberikan apa-apa penyata akaun,” kata Cheong.

“Jadi, saya tidak tahu butiran belian yang saya buat,” katanya.

“Mereka juga tidak mengeluarkan resit ke atas bayaran dibuat,” katanya lagi.

“Ini adalah kelemahan,” kata Teng.

Sesi pendengaran berakhir dan ditangguhkan selepas keterangan Cheong dan bacaan kanun bersumpah oleh seorang lagi saksi Low Chai Eng yang juga kontraktor perlombongan pasir.

Teng mengumumkan bahawa Selcat akan bersidang pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Tiada ulasan: