Selasa, 15 Jun 2010

Mohd Bakke Presiden, CEO baru Sime Darby

Oleh Ahmad Farizal Hajat


Pelantikan berkuat kuasa selepas siasatan selesai

DATUK Mohd Bakke Salleh dilantik sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif (CEO) Sime Darby Bhd yang baru, menggantikan Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid yang diarahkan bercuti selepas syarikat perladangan senaraian awam terbesar dunia itu mengalami kerugian dianggar mencecah RM1.63 bilion.

Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam, berkata pelantikan Mohd Bakke akan berkuat kuasa pada masa yang sesuai selepas segala isu perundangan berkaitan pelantikan ke jawatan berkenaan selesai.

“Ada beberapa perkara ‘praktikal’ seperti siasatan yang sedang berjalan dalam Sime Darby dan ia memerlukan syarikat menyelesaikannya terlebih dulu sebelum Mohd Bakke boleh dilantik secara rasmi ke jawatan berkenaan.

“Bagaimanapun, pada pandangan peribadi, saya inginkan beliau (Mohd Bakke) memulakan tugas secepat mungkin, namun dalam realitinya kami perlu memberikan beliau sedikit masa sebelum ia boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media mengumumkan perlantikan Mohd Bakke di Kuala Lumpur semalam.

Musa berkata, pada dasarnya, persetujuan di antara Sime Darby dan Mohd Bakke sudah dicapai, namun terma terperinci bakal diputuskan selepas kedua-dua pihak bertemu tidak lama lagi.

“Saya yakin peralihan kuasa itu akan berjalan dengan lancar,” katanya sambil menambah Mohd Bakke ketika ini bercuti di luar negara.

Bulan lalu, Sime Darby mengambil tindakan yang belum pernah dilakukan sebelum ini dengan membuat perubahan pengurusan, termasuk mengarahkan Ahmad Zubir bercuti sebelum kontraknya tamat pada 26 November ini.

Ia ekoran tindakan lembaga pengarah konglomerat itu memandang serius implikasi kerugian bahagian utiliti dan tenaganya yang disebabkan lebihan kos serta kelewatan pelaksanaan tiga projek minyak dan gas di Qatar serta pembinaan Empangan Hidroelektrik Bakun.

Jawatan Ahmad Zubir kini dipangku Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perladangan Sime Darby, Datuk Azhar Abdul Hamid yang akan bekerjasama dengan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Datuk Abdul Wahab Maskan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Tong Poh Keow.

Azhar akan memangku jawatan itu sehingga pelantikan rasmi Mohd Bakke dibuat.

Musa menjelaskan, Mohd Bakke, 56, sudah dipilih daripada beberapa senarai calon utama lembaga pengarah berikutan kepakaran dan pengalamannya.

Katanya, Mohd Bakke, yang berkhidmat sebagai Presiden Kumpulan/Ketua Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (Felda Global) membuktikan kebolehannya menguruskan syarikat besar, aktiviti pengstrukturan semula korporat dan kepakaran pengurusan dalam industri perladangan dan hartanah.

“Justeru, lembaga pengarah yakin dengan kepakaran dan kebolehan yang dimiliki Mohd Bakke untuk menerajui Sime Darby kembali ke jalan yang betul,” katanya.

Mohd Bakke yang pernah menerajui Lembaga Tabung Haji dan Bank Islam, turut dipandang tinggi dalam sektor korporat berikutan kebolehannya memulih dan mengembalikan syarikat berkenaan ke kedudukan lebih baik selepas mengalami kerugian.

Sebelum pelantikannya dalam Felda Global, Mohd Bakke berkhidmat dalam pelbagai kapasiti dengan beberapa syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan.

Tiada ulasan: