Khamis, 17 Jun 2010

Mesin ATM Lesap, Perompak DiPercayai Profesional

TV SELANGOR


KUALA LUMPUR : Sebuah mesin pengeluaran wang ATM yang ditempatkan di luar sebuah pasaraya di Taman Dagang dekat sini didapati lesap dipercayai dilarikan penjenayah tanpa menjejaskan pintu dan dinding kaca yang menempatkan mesin itu.

Namun insiden itu menimbulkan rasa kesal pihak polis kerana kehilangan mesin ATM tersebut yang dipercayai berlaku antara pukul 10 malam semalam dan pukul 7 pagi hari ini hanya dilaporkan kepada mereka kira-kira pukul 7 petang.

Bercakap kepada pemberita di sini, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Amiruddin Jamaluddin berkata pihaknya percaya kejadian dilakukan oleh mereka yang profesional berasaskan kepada bukti di tempat berkenaan.

Selain tidak menjejaskan dinding dan pintu yang diperbuat daripada kaca, alat penggera yang dipasang di situ juga dimatikan, malah wayar elektrik mesin ATM itu juga dipotong menunjukkan kejadian dilakukan oleh profesional, katanya.

Beliau berkata kejadian juga melibatkan lebih daripada seorang suspek kerana terdapat kesan calar pada lantai di luar bilik kaca tersebut dipercayai kesan mesin itu diseret.

"Orang awam yang menyedari tentang kehilangan mesin itu kira-kira 7 pagi tadi sebelum memaklumkan kepada seorang juruteknik syarikat keselamatan berhampiran namun juruteknik terbabit lambat membuat laporan polis," katanya.

Beliau berkata nilai kerugian masih dalam siasatan dan meminta orang awam yang melihat kejadian itu tampil bagi membantu siasatan kes yang pertama kali berlaku di daerah berkenaan.

Tinjauan mendapati jarak tempat kejadian dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya hanya kira-kira 500 meter.

Tiada ulasan: