Rabu, 23 Jun 2010

Mengapa pemimpin Umno BN sokong judi sukan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) ingin penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak mengapa pimpinan Umno dan Barisan Nasional bersungguh-sungguh menyokong judi sukan sedangkan kerajaan tidak pun mengeluarkan lesen judi sukan.

Setiausahanya, Suhaizan Kaiat dalam kenyataan hari ini mempersoalkan perkara itu berikutan wujudnya percanggahan di kalangan beberapa menteri dan timbalan menteri, baru-baru ini.

Berikut ialah kenyataan penuh GMJ mengenai perkara tersebut.

Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) mewakili rakyat Malaysia mahu penjelasan lanjut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang juga Menteri Kewangan yang telah menafikan pemberian lesen judi sukan kepada Syarikat Ascot Sport Sdn Bhd pada 7 Jun 2010.

Malah sikap Perdana Menteri yang tidak mahu membangkitkan semula isu lesen judi sukan itu dilihat sebagai usaha menyapu sampah ke bawah karpet. Kerajaan dilihat tidak jelas malah sentiasa berdolak-dalik berhubung dengan lesen judi sukan di negara ini.

Berikut adalah maklumat-maklumat yang mencurigakan di sebalik penafian Perdana Menteri:

1. Pada 11 Jun 2010 terdapat dokumen Information Memorandum telah dikeluarkan oleh Berjaya Sports Toto Malaysia Sdn Bhd di mana pada halaman 20 dokumen ini dinyatakan bahawa Ascot Sports telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk menjalankan perniagaan judi sukan. Berjaya Sport Toto memohon pinjaman RM800 juta untuk melakukan operasi judi sukan sempena EPL (English Premier League) pada bulan Ogos atau September 2010. Terdapat 220 outlet Sport Toto seluruh negara akan menjayakan judi tersebut. Penasihat utama bagi pembiayaan ini ialah Maybank Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Group. Menurut analisis kredit daripada Malaysia Rating Corporation Berhad (MARC) sebuah agensi penarafan telah menilai pinjaman yang telah diminta oleh Berjaya Sports Toto memiliki nilai rating setinggi AA-. Penilaian ini juga mengambilkira bahawa Ascot Sports telahpun mendapat kelulusan untuk menjalankan judi sukan. Pendedahan ini telah dibuat oleh Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada 21-Jun-2010 diParlimen.

2. Pada 12 Jun 2010, Berjaya Corp telah membuat kenyataan kepada Bursa Saham Malaysia bahawa Ascot Sport Sdn Bhd telah mendapat kebenaran kerajaan untuk memperbaharui lesen judi sukan. Atas asas ini maka Berjaya Corp telah membeli 70% saham Ascot Sport bernilai RM525 Juta. Sedangkan Ascot Sport adalah sebuah syarikat yang rugi sebanyak RM15.8 juta pada 31hb Disember 2008. Jika Ascot Sport tiada jaminan memperolehi semula lesen judi sukan maka sudah tentu Berjaya Corp tidak membeli sahamnya. Pendedahan ini telah dikeluarkan oleh Malaysia Insider pada 15 Jun 2010.

3. Pada 16 Jun 2010 Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim telah menyatakan bahawa lesen judi sukan ditangguhkan sedangkan Perdana Menteri telah menafikan mengeluarkan lesen tersebut. Maklumat ini telah dikeluarkan oleh Malaysiakini pada 16 Jun2010

4. Terdapat sokongan secara terbuka terhadap lesen judi sukan daripada pimpinan Umno dan Barisan Nasional antaranya adalah mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohammad, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pimpinan MCA dan pimpinan PPP. Maklumat ini telah dikeluarkan oleh kebanyakkan media arus perdana.

Persoalannya adalah:

1. Bagaimana MARC boleh memberi gred AA- kepada permohonan pinjaman RM800 juta Berjaya Sport Toto untuk melakukan operasi judi sukan pada Ogos atau awal September 2010 sedangkan kerajaan tidak mengeluarkan lesen judi.

2. Bagaimana Tan Seri Vincent Tan boleh meyakinkan Bursa Saham Malaysia untuk Berjaya Corp membeli 70% kepentingan Ascort Sport sedangkan pihak kerajaan tidak pun mengelurkan lesen judi sukan.

3. Bagaimana Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Donald Lim boleh mengumumkan penangguhan lesen judi sukan sedangkan kementeri Kewangan tidak pernah mengeluarkannya.

4. Bagaimana pimpinan Umno dan Barisan Nasional bersungguh-sungguh menyokong judi sukan sedangkan kerajaan tidak pun mengelurkan lesen judi sukan.

Atas persoalan-persoalan di atas maka GMJ rasa penuh yakin bahawa adanya dokumen bertulis daripada Kementerian Kewangan yang telah memberi kebenaran kepada Ascot Sport memperbaharui lesen judi sukan.

GMJ mahu Perdana Menteri menjelaskan kepada rakyat Malaysia apakah butiran yang telah diberikan kepada Tan Sri Vincent Tan sehingga beliau begitu yakin dan pihak-pihak ketiga seperti Bursa Saham Malaysia serta MARC bergitu yakin terhadap pembaharuan lesen judi sukan kepada Ascort Sport.

GMJ akan menyerahkan memorandum memansuhkan judi sukan kepada Perdana Menteri pada hari rabu 23 Jun 2010 jam 3 petang di Putajaya. GMJ mahu mendapatkan penjelasan seikhlasnya daripada Perdana Menteri berhubung dengan isu ini.

Walaubagaimana pun GMJ tetap bertegas bahawa suatu Himpunan 100 Ribu Rakyat Membantah Judi pada jam 2 petang 3 Julai 2010 di Kuala Lumpur akan tetap diadakan. Himpunan ini adalah untuk memberi isyarat kepada pihak kerajaan bahawa rakyat Malaysia tidak mahukan kepada judi sukan, pihak kerajaan perlu mengetatkan penguatkuasaan undang-undang judi dan mahu pihak kerajaan mendidik masyarakat membenci judi. Sesungguhnya judi boleh membawa keruntuhan keluarga, masyarakat dan negara.

Tiada ulasan: