Selasa, 8 Jun 2010

Mana lampu?

Oleh Arifin Salleh

Jalan Solok Duku-Tanjung Bidara digelar laluan maut

MASJID TANAH: Penduduk, khususnya pengguna yang melalui laluan baru Solok Duku-Tanjung Bidara, dekat sini, tidak berpuas hati dengan kegagalan pihak berkuasa memasang lampu di kawasan berkenaan biarpun tiangnya sudah lama dipasang.

Mereka mendakwa kerap melihat kemalangan di situ termasuk mengakibatkan kematian, akibat kawasannya yang terlalu gelap dan menakutkan untuk dilalui terutama pada tengah malam atau hujan lebat.

Berikutan itu, mereka kini seolah-olah sepakat menggelarkan jalan baru Solok Duku-Tanjung Bidara yang panjangnya dianggarkan sejauh lima kilometer itu sebagai laluan lubok kemalangan atau laluan maut.

Malah, ungkapan ini: Nak tunggu tambah ramai orang mati kemalangan, baru nak sibuk pasang lampu, kini semakin popular di kalangan penduduk dan pengguna di situ, sebagai tanda meluat dan kecewa.

Penduduk, Mohd Bilal Dollah, 44, berkata, isu berkenaan bukan baru, malah sering kali dibangkitkan termasuk kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di situ.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini belum ada sebarang tindakan susulan diambil bagi mengatasinya.

Cuba lihat beberapa tiang yang sudah dipasang di sini. Jika sudah ada tiang tapi lampu tak ada, apa ertinya semua itu. Sepatutnya bila tiang dah ada, pasanglah lampunya. Jangan biarpun penduduk atau pengguna tertunggu-tunggu.

Sekarang ini, sudah banyak kemalangan berlaku di laluan ini yang saya percaya gara-gara tak nampak jalan akibat gelap. Kita bimbang, jika keadaan seperti ini berterusan, mungkin lebih banyak lagi kemalangan berlaku pada masa depan.

Difahamkan semakin banyak haiwan liar melintas di situ sebab gelap. Orang yang nak lalu kawasan ini juga semakin ramai yang gentar. Jadi, kita minta pihak berkuasa, pandang-pandang dan dengar-dengarlah masalah penduduk di sini, katanya.

Mohd Bilal yang menjalankan perniagaan buah-buahan berhampiran kawasan berkenaan turut berharap JKKK di kampung berkenaan terus merayu kepada pihak berkuasa agar memberi perhatian terhadap isu terbabit.

Jika masalah ini dapat diatasi segera, saya percaya penduduk dan pengguna yang melalui kawasan berkenaan akan gembira dan selesa bila memandu pada waktu malam. Tentunya ini baik untuk imej Tanjung Bidara sebagai lokasi pelancongan utama di negeri ini, katanya.

Pengguna, Noorhemy Suldin, 32, ketika ditemui mengakui laluan baru terbabit memang perlu mempunyai lampu jalan dengan segera bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan pada waktu malam.

Katanya, sebelum ini beliau sendiri kerap hampir berlanggar berikutan gagal melihat kenderaan dari depan kerana muncul secara tiba-tiba atau dipandu secara melulu.

Selain kenderaan, saya juga sering terserempak dengan sekumpulan lembu berehat atau berkeliaran di laluan berkenaan. Mujur saya selalu mengambil sikap berhati-hati sebaik memasuki kawasan ini bagi mengelak kemalangan.

Sudah tentu, saya bersetuju sangat sekiranya kerajaan dapat segera memasang lampu jalan di laluan ini bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini. Malah, sejak kebelakangan ini, laluan ini juga semakin sibuk termasuk pada waktu malam, katanya.

Tiada ulasan: