Sabtu, 26 Jun 2010

MB Selangor panggil mesyuarat gempar malam ini


KUALA LUMPUR – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang disebut-sebut menjadi sasaran digulingkan kepimpinannya oleh sekumpulan pemimpin PKR sendiri memanggil mesyuarat tergempar di kediaman rasminya malam ini.

Sumber yang dekat dengan PKR Selangor menyebut pemimpin-pemimpin negeri dan ketua bahagian dimaklumkan mengenai mesyuarat tersebut 6 petang tadi.

The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat itu dipanggil untuk menjana sokongan bagi menghadapi sebarang kemungkinan menjatuhkan Khalid yang menerajui negeri itu sejak Mac 2008.

Khalid juga merupakan Pengerusi PKR Selangor.

“Ya, saya diminta untuk menghadiri mesyuarat tetapi disebabkan ada urusan lain, saya tidak dapat menghadirinya,” kata seorang ahli jawatankuasa PKR negeri kepada The Malaysian Inisder.

“Mengapa anda merasakan saya perlu menghadiri mesyuarat ini? Kami tahu apa yang akan dibincangkan, mereka tidak akan membincangkan pasal cuaca,” kata beliau yang enggan namanya didedahkan.

Pertemuan tergempar ini diadakan sehari sebelum PKR mengadakan retreat dua hari mulai esok.

Difahamkan seramai 15 Ahli Parlimen PKR yang dipercayai diketuai oleh Naib Presiden Azmin Ali akan menyerahkan petisyen kepada Penasihat parti Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta agar Khalid dikeluarkan daripada kerusi Menteri Besar, esok.

Semalam Azmin menafikan pembabitan beliau dalam sebarang usaha untuk menjatuhkan Khalid.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor Syed Shahir Syed Mohamud mengesahkan pertemuan malam ini di Shah Alam tetapi menolak ia diadakan untuk membincangkan isu mahu menggulingkan beliau.

“Kesemua pemimpin PKR dijemput hadir dan saya percaya kebanyakan akan hadir,” kata beliau.

“Itu hanya persepsi media,” kata Syed Shahir kepada The Malaysian Insider ketika ditanya sama ada mesyuarat malam ini akan membincangkan tentangan terhadap kepimpinan Khalid.

Siang tadi, Khalid menyifatkan laporan bahawa terdapat pakatan 15 Ahli Parlimen PKR yang mendesak beliau melepaskan jawatannya, hanya satu spekulasi.

“Saya tidak menerima apa-apa daripada delegasi terbabit, jadi itu boleh jadi spekulasi sahaja,” kata beliau.

Laporan media menyebut kesemua Ahli Parlimen PKR itu mahu Abdul Khalid berundur dan melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Ditanya apa tindakan beliau sekiranya diberikan surat mengandungi desakan kumpulan itu, Khalid berkata: “Saya akan terima dan baca.”

Tiada ulasan: