Jumaat, 4 Jun 2010

Manikavasagam dakwa KKSB amal ‘pilih kasih’

Dzulfikar Mashoor


SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pagi tadi tidak menolak kemungkinan bahawa wujudnya amalan pilih kasih di kalangan pegawai atasan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KKSB).

“Itulah yang saya nak kata, dia (KKSB )mungkin mengamalkan ‘pilih kasih’ dengan terima permohonan satu pihak (pemaju) dan tolak satu pihak (pemaju) yang lain,” jelas beliau pagi tadi ketika menunggu giliran untuk menghadapi pendengaran awam yang dibuat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Disebabkan amalan pilih kasih tersebut, banyak pemaju berdaftar mengalami kesukaran dalam mendapatkan bekalan pasir di peringkat kerajaan negeri.

“Memang ada pihak tertentu yang membuat rundingan haram dan membunuh syarikat-syarikat pelombong pasir yang membuat permohonan (daripada) KKSB mengikut prosedur,” ujarnya.

Tidak cukup dengan itu, beliau yang juga Ketua Biro Aduan Rakyat PKR Nasional berkata, lebih 12 pemaju terbabit dalam aduan masing-masing menyuarakan rasa kecewa dengan Pakatan Rakyat negeri kerana membiarkan aktiviti perlombongan haram berpanjangan di Selangor.

“Di tangan saya ada 12 aduan (dan) ramai yang sangat marah dengan Pakatan Rakyat dan kemarahan rakyat boleh menjelaskan Pakatan.

“(Maka) sebab itu saya terpaksa menyuarakan semua ini (penyelewengan) walaupun saya sedar beberapa pemimpin Pakatan Rakyat dalam kerajaan negeri begitu marah dengan saya,” beliau menambah.

Beliau menjelaskan turut menerima aduan ke-13 pagi tadi daripada Pengarah Eksekutif Juta Seri Sdn. Bhd., Casey Lee pagi tadi yang dinafikan hak secara tidak munasabah untuk mendapatkan tender melombong tanah oleh KKSB.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri era Pakatan Rakyat cuba membuat perhitungan yang waras terhadap inisiatif beliau menentang kronisme dalam KKSB.

Ini kerana, beliau berkata, kerajaan Selangor era Pakatan Rakyat mesti lebih dilihat bersih berbanding kerajaan Selangor era Barisan Nasional.

“Saya cuma mahu kerajaan kita dilihat lebih bersih, tidak sama dengan Umno (maka) Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) tidak wajar ketepikan aduan ini sejak dulu lagi,” jelasnya lagi.

“Kalau waktu Umno memerintah, kerajaan negeri boleh mendapat RM15 juta (hingga) RM16 juta, kita memerintah sepatutnya tidak hanya mendapat royalti sebanyak RM2 juta (hingga) RM3 juta sahaja.”

Melihat pada kelemahan pengurusan dalam KKSB, beliau mencadangkan supaya syarikat milik kerajaan negeri tersebut ditutup serta merta.

“Kita (Pakatan Rakyat) perlu bersihkan semua ini, kalau perlu tutupkan saja KKSB dan minta PTG (Pejabat Tanah dan Galian) saja menguruskan tentang tender (melombong tanah) ini,” tegasnya lagi.

Manikavasagam di dalam kamar inkues kemudiannya meminta Pengerusi Selcat, Tan Chang Kim supaya memanggil saksi-saksi terbabit untuk membantu siasatan.

Pun begitu, Tan berkata, kenyataan Manikavasagam sudah memadai untuk mewakili saksi-saksi terbabit.

Sejurus itu, Manikavasagam meminta Tan supaya tidak berdolak-dalih untuk mengetepikan saksi-saksi terbabit kerana mereka masing-masing mempunyai dokumen untuk membuktikan bahawa wujudnya kronisme dalam pengurusan KKSB.

Tan seperti tiada pilihan lalu memanggil saksi pertama, iaitu Chong, Kontraktor KKSB.

Pada 12 Mei lalu, dilaporkan Manikavasagam menamakan tiga pegawai atasan KKSB – Abdul Shukor Nagor (Pengarah KKSB), Ir. Ramli Abdul Majed (Ketua Pegawai Eksekutif) dan Wong Swee Leong (Pengurus Pemasaran) terbabit dalam perlombongan pasir secara haram.

Manakala semalam, Abdul Shukor dalam sesi pendengaran awam seakan menegaskan bahawa amalan pengurusan KKSB sebenarnya mengikut prosedur-prosedur yang tidak salah.

Tiada ulasan: