Khamis, 24 Jun 2010

Maika: Impian yang berkecai


maika Oleh Nantha Kumar dan G Vinod


KUALA LUMPUR: G-Team Resources memberi tempoh kepada pemegang saham Maika sehingga 13 Julai ini untuk menyerahkan borang bagi menebus nilai saham mereka secara tunai.

Bagaimanapun, kebanyakan pemegang saham yang ditemui FMT menyatakan kemelut perkara ini sudah pun melarat seperti tidak berkesudahan walaupun nilai yang dilaburkan itu sedikit.

"Kami menderita kerana terpaksa menunggu sejak 28 tahun lalu. Saya membeli saham sejumlah RM1,000 pada tahun 1984, nilai yang besar memandangkan ketika saya bekerja sebagai buruh biasa.

"Seingat saya, saya menerima dividen dua kali. Selepas itu, hanya prospektus tahunan telah dihantar ke rumah saya," kata warga emas berumur 58 tahun dari Sungei Way.

Menceritakan detik ketika beliau menghadiri Mesyuarat Agung Maika pada tahun 2007, Maniam berkata kebanyakan belia ketika itu mengaku sebagai pewaris kepada pemegang saham.

"Namun ketika kami menyoalkan tentang perkara itu kami dipukul oleh beberapa golongan belia itu. Apa yang menyedihkan, polis yang berada di tempat kejadian hanya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa," katanya.

Maniam berkata mendiang bapa mertuanya turut memiliki saham Maika dan baki saham kini diwariskan kepada anak-anaknya untuk dilaburkan.

"Jika masih ada lagi kaum India yang mahu mengundi MIC, mereka bodoh," katan Maniam yang mengakui kini menjadi penyokong DAP.

Sementara itu, M Tanasegaran, 51, melabur dalam saham Maika selepas diperkenalkan rakannya yang merupakan pengurus bank.

"Dia meyakinkan saya akan mendapat pulangan yang bagus. Namun sehingga ini beliau hanya mendapat dividen RM100 untuk beberapa tahun selepas melabur sebanyak RM2,000," kata Tanasegaran.

Ditanya jika beliau menghadiri sebarang mesyuarat pemegang saham, beliau berkata beliau hanya menghadiri sebanyak tiga kali mesyuarat itu.

"Setiap kali kami bertanyakan soalan, kami akan dikasari secara fizikal, jadi kenapa harus ambil risiko itu?" katanya kecewa.

B Pathmavathy, juga seorang pemegang saham, berkata beliau memutuskan untuk mengambil tawaran semasa kerana merasakan tidak ada pilihan lain yang lebih baik untuknya.

"Saya telah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara, saya perlu kepada wang tambahan untuk membayar rawatan selanjutnya," katanya, yang melabur sebanyak RM500 beberapa tahun lalu.

Pusat henti setempat

Seorang kakitangan Maika yang memproses sijil saham memberitahu FMT bahawa mereka melakukan yang terbaik bagi memudahkan urusan bagi pemegang saham yang berusia lanjut untuk menjual saham-saham mereka.

"Sebagai pemegang saham, mereka adalah boss dan kami ingin membuat urusan mereka menjadi mudah," kata staf berkenaan yang enggan menyebut namanya.

"Apa yang mereka perlu lakukan ialah dengan membawa sijil saham untuk menuntut hak mereka. Jika sijil itu hilang, mereka hanya perlu memberitahu nombor kad pengenalan sahaja.

"Selepas itu mereka perlu mengemukakan sepucuk surat yang telah ditandatangani daripada Pesuruhjaya Sumpah untuk menyokong tuntutan mereka."

Staf itu berkata, mereka terpaksa menubuhkan beberapa pusat henti setempat di Perak, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

"Beberapa cawangan Bank CIMB di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan turut membantu kami dalam menyelesaikan masalah ini."

Apabila ditanya bilakah para pemegang saham akan menerima bayaran tunai mereka, beliau berkata, mereka akan menerimanya sebaik sahaja G-Team memiliki 51% dari saham-saham.

"Buat masa ini kami mempunyai 47% saham di tangan. Apabila sahaja kami mencapai 51%, kami akan membuat bayaran dalam tempuh 21 hari melalui draf bank atau kami mendeposit wang itu ke dalam akaun Bank CIMB mereka," katanya.

G Team Resources berkata, pihaknya telah mengirim surat kepada 66,000 pemegang saham Maika, memberitahu tentang pembelian alih ini.

Tetapi adalah difahamkan bahawa 60,000 dari surat-surat itu telah dikembalikan kerana kebanyakan para pemegang saham tidak lagi menetap di alamat yang tertera.

Tokoh perniagaan G Gnanalingam menawarkan untuk membeli saham melalui G Team Resources pada nilai RM100 juta pada April, memberi laluan untuk menyelesaikan masalah yang berpanjangan menghantui masyarakat India.

Tiada ulasan: