Selasa, 15 Jun 2010

Mahkamah diberitahu sebab Dr Pornthip enggan hadir

BERNAMA

SHAH ALAM – Mahkamah Koroner yang mendengar inkues Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa pakar patologi Thailand Dr Pornthip Rojanasunand enggan hadir memberi keterangan di mahkamah kerana tidak mampu mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa setiausaha politik itu dibunuh.

Ketua Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Abdul Razak Musa berkata alasan yang diberikan oleh Dr Pornthip bahawa beliau juga bimbang akan keselamatannya di negara ini adalah tidak berasas sama sekali kerana tiada sebarang bukti atau laporan polis dikemukakan bagi menyokong perkara itu.

Abdul Razak berkata permohonan kerajaan negeri Selangor untuk membenarkan Dr Pornthip memberikan keterangan melalui telepersidangan video juga tidak wajar dibenarkan kerana ia bukan sahaja memberi impak kepada ketidakadilan malah melibatkan kos yang banyak.

“Jika Dr Pornthip memberi keterangan di Thailand dan jika dia tidak bercakap benar apa tindakan yang boleh kita buat. Kita tidak dapat berbuat apa-apa jika dia enggan menjawab soalan dan dia mungkin akan diajar oleh orang lain untuk menjawab soalan.

“SPRM kini menjadi pihak yang ditohmahkan selepas Dr Pornthip member keterangan setelah beliau menyatakan 80 peratus kemungkinan Teoh mungkin dibunuh dan jika Dr Pornthip tidak hadir, ketidakadilan akan berterusan,” katanya.

Teoh, 30, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai tahun lepas selepas disoal siasat semalaman di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terletak di tingkat 14 bangunan yang sama berhubung penyelewengan peruntukan kerajaan negeri Selangor.

Dr Porntip dalam keterangannya sebelum ini dalam inkues itu menyatakan kematian Teoh berpunca ‘80 peratus dibunuh’ berdasarkan gambar-gambar di tempat kejadian dan kecederaan pada mayat Teoh.

Beliau kemudiannya menyatakan menghadapi tekanan dan ancaman hingga tidak dapat hadir memberikan keterangan lanjut. Keterangannya sepatutnya didengar selepas bedah siasat kedua dilakukan.

Tiada ulasan: