Rabu, 2 Jun 2010

Lima Hari Bekerja Untuk Guru - NUTP

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) memohon Kementerian Pelajaran mengkaji semula Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/2005 agar memansuhkan peruntukan yang membenarkan guru bekerja dua hari Sabtu setiap bulan. Presidennya, Hashim Adnan berkata, guru juga perlu mendapat lima hari bekerjaseperti penjawat awam yang lain dan mendapat hak yang sama rata seperti mereka. Beliau berkata, NUTP mendapati ramai guru dipanggil bekerja, mengikuti kursus dan sebagainya pada hari Sabtu.

"Pendirian kami (NUTP) masih tetap mengikut pekeliling yang lama iaitu kerja dari hari Isnin hingga Jumaat sahaja. Sekiranya berlaku (bekerja) hari Sabtu, kita rasa kita kaum pendidik seolah-olah dianaktirikan," katanya pada sidang media di Wisma NUTP di sini hari ini. Turut hadir Setiausaha Agung NUTP Lok Yim Pheng. Hashim berkata, NUTP juga mahu kerajaan melihat secara serius mengenai isu penjawat awam wanita yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, tidak menikmati cuti bersalin malah langsung tidak ada cuti bersalin. Beliau meminta supaya penjawat awam yang melahirkan anak keenam dan seterusnya, diberi cuti bersalin yang sama seperti penjawat wanita yang melahirkan anak pertama.

"Kalau seorang wanita tidak diberi cuti bersalin 60 hari (masa ini) apabila dia melahirkan anak keenam, dia akan mengambil cuti seminggu, dua...kemudian bekerja semula.

"Ini akan menjejaskan kesihatannya. Dia ambil cuti tanpa gaji bermakna tiadapendapatan. Kenapa kita perlu bertindak sebegitu," katanya sambil menyokong sepenuhnya perjuangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang mana pekerjawanita harus diberi 90 hari cuti bersalin.

Sementara itu, Hashim juga berkata, NUTP tidak menyokong cadangan mensyaratkan guru memiliki lesen perguruan bagi meningkatkan integriti dan kualiti pendidikan. Beliau berkata, perkara tersebut akan membebankan para guru dan ia akan melibatkan kos yang amat tinggi. -

Tiada ulasan: