Rabu, 2 Jun 2010

KSSB untung RM1.11 juta untuk tiga bulan pertama tahun ini

Harakahdaily


SHAH ALAM: Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang menguruskan perlombongan pasir di Selangor mencatatkan keuntungan RM1.11 juta untuk tiga bulan pertama tahun ini iaitu dari Januari hingga Mac 2010.

Pada tahun 2009, KSSB mencatatkan keuntungan RM9.4 juta manakala September hingga Disember 2009, mereka mendapat untung RM1.99 juta.

Bagaimanapun jumlah ini masih rendah berbanding pendapatan dari pasir yang diperolehi kerajaan Selangor semasa BN iaitu RM17 juta pada tahun 2007.

KSSB yakin, tahun ini KSSB akan memberikan untung yang memberangsangkan berbanding tahun lepas.

Perkara ini diberitahu oleh saksi ketiga sidang Selcat, Datuk Abdul Shukur Nahar (gambar), Pengarah Eksekutif KSSB dalam sidang yang berlangsung hari ini.

Ekoran keuntungan yang dicapai, semua kakitangan KSSB telah diberikan bonus dua bulan gaji pada awal 2008 iaitu empat bulan selepas KSSB beroperasi.

Abdul Shukur menyifatkan kakitangannya layak menerima bonus itu kerana keuntungan yang dicatatkan oleh syarikat di samping kerja keras yang terpaksa mereka lakukan di syarikat itu.

Beliau adalah saksi ketiga yang memberikan keterangan dalam sidang yang dipanggil ekoran aduan yang dibuat oleh anggota Parlimen Kapar, S Minakavasagam atau lebih dikenali dengan nama Mike.

Mike dijangka akan memberikan keterangan esok iaitu hari kedua sidang Selcat ini.

Saksi pertama yang memberikan keterangan pagi tadi adalah Yaakob Sapari iaitu exco yang bertanggungjawab dengan sumber asli.

Manikavasagam didapati berada di luar bangunan DUN selepas sidang Selcat bermula 10 pagi tadi.

Kemudian, beliau meninggalkan premis itu selepas dimaklumkan bahawa hanya akan dipanggil memberi keterangan pagi esok.

Turut hadir pertama kali sebagai anggota panel Selcat ialah dua wakil rakyat Barisan Nasional.

Mereka ialah Ismail Sani, yang merupakan Adun Dusun Tua dan Sulaiman Abdul Razak dari Permatang.

Kedua-dua mereka memulaukan sidang Selcat tahun lalu.

Anggota lain ialah Teng Chang Khim, Speaker DUN yang bertindak sebagai Pengerusi Selcat, Haniza Talha (PKR-Taman Medan) bertindak sebagai timbalan pengerusi, Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang) dan Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing).

Sidang akan bersambung pagi esok.

Tiada ulasan: