Sabtu, 26 Jun 2010

“Klang Heritage Walk” Gamit Pengunjung Luar


MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN


KLANG– ‘Klang Heritage Walk’ antara produk baharu pelancongan di Selangor, dijangka mampu melonjakkan industri ini ke tahap memberangsangkan dengan mengetengahkan Bandar Di Raja sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan bangunan pasca kemerdekaan yang dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Laluan Warisan Klang ini diilhamkan bagi mengembalikan kegemilangan sejarah Bandar Klang yang berusia 120 tahun yang mempunyai bangunan-bangunan lama dan bersejarah untuk dipelihara serta dikekalkan sebagai bangunan warisan yang mempunyai nilai estetika tinggi untuk ditonjolkan kepada umum.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong, berkata usaha ini adalah kesinambungan daripada Tahun Melawat Selangor 2010 menerusi kempen ‘Selangor Shine’ yang dilancarkan tahun lepas.

“Kita cuba memperkenalkan produk-produk pelancongan yang baharu di seluruh Selangor kepada pelancong-pelancong tempatan dan luar negara bermula dari daerah Klang. Usaha ini kita lakukan menerusi pakej pelancongan agar mudah dijual dan boleh dipromosikan oleh agensi pelancongan secara berkesan.

Walaupun Selangor mempunyai banyak produk pelancongan namun penjenamaannya tidak dilakukan dengan baik sebelum ini”, katanya pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian ‘Klang Heritage Walk’ di Stesen Komuter, Klang petang tadi.

Tambahnya, produk baharu ini dipilih bertujuan membawa para pelancong atau pengunjung untuk melalui laluan warisan utama jalan-jalan bersejarah di bandar ini serta melihat bangunan-bangunan bersejarah sekitar bandar ini yang merupakan antara bandar lama di daerah Klang.

Laluan bersejarah sepanjang 3.5 kilometer ini bermula dari stesen keretapi Klang yang berusia kira-kira 110 tahun, diikuti dengan Masjid Di-Raja Sultan Suleiman, Istana Alam Shah, Kota Raja Mahadi, Balai Bomba Klang, Gedung Raja Abdullah, Jalan Tengku Kelana, Kolej Sultan Alam Shah, Kuil Kuan Yin dan Masjid India Klang.

Dalam pada itu, Yang Di Pertua Majlis Perbadaran Klang (MPK), Mislan Tugiu berkata bagi merealisasikan projek ini pihaknya bercadang memberikan ganjaran dan insentif kepada pemilik-pemilik premis bagi menjayakannya.

Katanya sebanyak 340 unit rumah kedai dua tingkat terpilih dalam program ini. Antaranya ialah Jalan Raya Timur, Jalan Stesyen, Jalan Tengku Kelana, Jalan Tengku Diauddin, Jalan Dato’ Hamzah dan Jalan Stesyen 1.

“Majlis berharap pemilik premis akan memperbaiki fizikal sedia ada dan mengekalkan struktur asal bangunan-bangunan lama ini. Penggunaan cat bangunan akan diselaraskan dan cadangan skema warna akan ditetap dan diseragamkan”, katanya.

Jelasnya tiga asas utama untuk mengekalkan bangunan warisan di Klang melibatkan pengindahan, pencahayaan dan keselamatan.

Bagi tujuan itu, sebanyak 16 kamera litar tertutup (CCTV) dijangka dipasang MPK di sekitar laluan bersejarah ini sebagai langkah tambahan keselamatan kepada pengunjung yang hadir.

Hadir menyempurnakan majlis ini Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir dan Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din. –

Tiada ulasan: