Jumaat, 25 Jun 2010

Khalid disingkirkan MB S'gor di permukiman PKR?

MALAYSIA KINI



Permukiman dua hari PKR akan diadakan Shah Alam mulai esok berikutan laporan bahawa sekumpulan 15 ahli parlimen daripada PKR bergabung tenaga untuk menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Sebelum ini, beberapa media menyebut semua anggota parlimen PKR itu mahu Khalid berundur dan melepaskan jawatan sebagai menteri besar Selangor.

Khalid, ketika menyampaikan hak milik tanah kepada penduduk di Kampung Sungai Yu, di Kuala Selangor hari ini berkata laporan itu sebagai hanya satu spekulasi.

Ditanya apa tindakan beliau sekiranya diberikan surat mengandungi desakan kumpulan itu, Abdul Khalid berkata: "saya akan terima dan baca".

Mengulas mengenai kemungkinan pakatan itu berupaya merombak kepimpinan PKR pada pemilihan parti hujung tahun ini, beliau berkata: "saya tidak tahu."

Difahamkan, kumpulan sama juga akan menyampaikan cadangan itu kepada kepimpinan PKR semasa pemukiman parti itu.

Bagaimanapun pengarah strategik PKR, Tian Chua yang dihubungi Bernama tidak mengulas perkara itu tetapi sebaliknya berkata persediaan menghadapi pilihan raya menjadi antara agenda yang akan dibincangkan pada sesi dua hari itu.

Katanya, lima kertas kerja akan dibentangkan pada sesi berkenaan yang akan dihadiri oleh ahli Majlis Tertinggi parti.

Beliau berkata, selain persediaan menghadapi pilihan raya, mereka juga dijangka membincangkan perkara berhubung penyebaran maklumat dan struktur organisasi dalam bengkel yang akan diadakan.

"Kami akan berusaha menghasilkan beberapa resolusi... atau program kerja untuk parti," kata ahli parlimen Batu menerusi telefon di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, ketua pembangkang dan penasihat parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menghadiri permukiman berkenaan.

Tiada ulasan: