Sabtu, 26 Jun 2010

Khairy anggap Perkasa penghalang 1Malaysia

UTUSAN ONLINE

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa pendekatan yang digunakan oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) terhadap sesuatu isu merupakan penghalang kepada semangat 1Malaysia.

Beliau berkata, meskipun niat Perkasa untuk memperjuangkan keistimewaan kaum pribumi negara ini adalah murni, namun presiden pertubuhan itu, Datuk Ibrahim Ali mengambil cara yang tidak bertepatan dengan konsep 1Malaysia dalam menyuarakan pandangan.

Katanya, pendekatan Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan sudah ketinggalan zaman dan tidak lagi laku untuk diguna pakai dalam era globalisasi.

"Ibrahim Ali, Perkasa punya pendekatan adalah penghalang kepada 1Malaysia. Konsep 1Malaysia tidak akan gadaikan orang Melayu tetapi cara yang beliau buat memang tidak memupuk perpaduan seperti yang dituntut 1Malaysia.

"Beliau ahli politik jaguh kampung, dalam zaman globalisasi, mana boleh. Sudah lapuk, tidak laku," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Kuala Kedah di sini hari ini.

Khairy sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Ibrahim yang mendesak beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau kerana dikatakan membelakangkan agenda Melayu.

Ia berikutan tindakannya mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr. Wee Ka Siong dalam isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Kelmarin, Ka Siong yang juga Timbalan Menteri Pelajaran menafikan bahawa beliau mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, jika Perkasa benar-benar ingin membantu orang Melayu, Ibrahim patut melihat bagaimana perubahan untuk mencapai kemajuan itu perlu dibawa.

"Dia (Ibrahim) gaduh sahaja. Suruh dia ini letak jawatan, cabar orang itu. Ini bukan politik yang baik," katanya sambil menegaskan beliau tidak akan melayan desakan Ibrahim itu.

Katanya, Ibrahim tiada hak untuk memintanya berbuat demikian kerana Ahli Parlimen Pasir Mas itu bukan ahli UMNO dan bukan pengundi di kawasan yang diwakilinya sebagai wakil rakyat.

Menurut beliau, dia bukan mempertahankan kenyataan Ka Siong tetapi menganggap Ketua Pemuda MCA itu tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu pemberian biasiswa JPA.

"Bagi saya tidak timbul soal sensitif daripada Ka Siong dan saya menyarankan Ibrahim supaya jangan menimbulkan isu-isu seperti ini nak melagakan kita dalam Barisan Nasional (BN).

"Dia bukan ahli BN, jaga kawasan sendiri cukuplah di Pasir Mas," katanya.

Tiada ulasan: