Selasa, 15 Jun 2010

Kes ‘bini puaka’ lima pelajar UM panggil 17 saksi


KUALA LUMPUR – Seramai 17 saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes lima pelajar Universiti Malaya (UM) yang didakwa ekoran isu menconteng “bini puaka” dan “pembunuh Altantuya” yang dituju kepada isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor pertengahan tahun lalu.

Namun, The Malaysian Insider difahamkan pihak pendakwaan hanya sempat memanggil enam orang saksi untuk memberikan keterangan di depan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rozana Abdul Yusoff.

Menurut peguam Mohd Radzlan Jalaludin yang mewakil tertuduh, keterangan saksi pertama ahli kimia Jabatan Kimia Muhammad Fauzi Ghazali menunjukkan “tidak wujud kesan hidro karbon yang mudah terbakar”.

“Saksi pertama menyatakan hasil analisis yang dibuat ke atas kes berkenaan menunjukkan tidak wujud kesan hidro karbon yang mudah terbakar.”

“Ini kerana menurutnya petrol yang tergolong dalam hidro karbon merupakan bahan yang mudah terbakar dan jika disimbah pada material, mudah terwap walaupun dibungkus dengan baik.

“Selain itu, jika baru disimbah akan ada bau yang kuat dan wujud satu corak simbahan tetapi sekiranya dibiarkan lama ia akan hilang,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Difahamkan terdapat 19 barang kes termasuk seutas jam tangan jenama American Polo, cincin, jaket hitam berlengan panjang, serbuk berwarna hitam dan botol air.

Saksi kedua Lans Koperal Syed Mastri Syed Ishak yang merupakan jurufoto di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields turut dipanggil membuat pengecaman bagi gambar karpet dan dinding yang diambil di tempat kejadian.

Lima pelajar Shazni Munir Mohd Ithnin, Muhammad Aizat Roslan, Muhammad Saufi Jelani, Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli dituduh melakukan kesalahan itu pada 4 pagi 24 Jun tahun lalu di dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam, beberapa jam sebelum Rosmah hadir untuk melancarkan kempen mengutip derma bagi kanak-kanak Palestin.

Kelima-lima pelajar tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen-sekyen 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan.

Bagi Seksyen 427, mereka dituduh menyimbah petrol di atas permaidani yang bakal dilalui Rosmah dan menconteng di sebuah dewan akademi pengajian itu.

Di bawah Seksyen 436, tiga pelajar pula dituduh melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan api di tempat dan waktu yang sama.

Bagi Seksyen 447 pula, mereka dituduh melakukan pencerobohan jenayah pada tarikh dan masa yang sama.

“Setakat keterangan saksi hari ini saya berpuas hati kerana tidak berlaku sebarang percanggahan keterangan.

“Esok saksi yang lain akan memberikan keterangan pula jadi kita perlu lihat sekiranya ada percanggahan keterangan dalam kes ini,” kata Mohd Radzlan.

Kes tersebut disambung semula pagi esok.

Tiada ulasan: