Isnin, 21 Jun 2010

Kerusi Batu: Opsyen Tian Chua masih terbuka?


ANALISIS — Peguam-peguam mewakili Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak mahu membuat sebarang spekulasi berkaitan dengan hasilan pertemuan mereka dengan hakim yang mendengar kes rayuan anak guaman mereka, pagi ini.

Pun begitu mereka menganggap beberapa opsyen masih terbuka untuk dipertimbangkan, sekali gus mencari jalan keluar daripada isu perundangan semasa.

Opsyen itu ditimbangkan ketika status Ahli Parlimen Batu Tian Chua masih menjadi teka-teki dengan pelbagai andaian berterusan ketika peguamnya dijadual menemui Hakim Ghazali Cha ,yang mengurangkan denda ke atasnya kepada RM2,000, pukul 8 pagi ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata, Parlimen tidak perlu memutuskan sama ada Tian Chua hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen berikutan denda RM2,000 yang dikenakan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Dewan Rakyat menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), badan bebas ini pula menyerahkan kepada SPR atas alasan wujudnya elemen ‘kabur’ dengan hukuman denda yang ‘marginal’.

Nazri berkata, semua pihak perlu berpegang kepada keputusan hakim bahawa keputusannya mengurangkan hukuman enam bulan penjara dan denda RM3,000 kepada denda RM2,000 adalah bagi mengelak berlakunya pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu yang diwakili Tian Chua.

Bagi Nazri, juga seorang peguam, beranggapan bahawa status Tian Chua tidak perlu dipertikaikan.

Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin juga menegaskan kerusi Parlimen tidak kosong dan SPR tidak wajar memanggil pilihan raya.

“Begitu juga Dewan Rakyat tidak wajar mengisytiharkan kerusi Batu kosong bagi membolehkan SPR memanggil pilihan raya... saya melihat satu elemen baru di mana aspek menghina mahkamah jika pilihan raya kecil dipanggil,” beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

“Kita kena melihat tafsiran hakim yang mengatakan mengapa beliau mengurangkan denda kepada RN2,000 iaitu mahu mengelakkan pilihan raya.

“Ia sangat jelas. Oleh itu, jika ada mana-mana pihak mahu mengadakan pilihan raya atau mengisytiharkan kerusi Batu kosong, saya berpandangan bahawa ia boleh dianggap sebagai tindakan menghina mahkamah,” kata Shamsul Iskandar yang juga seorang peguam.

Ghazali ketika mendengar rayuan Tian Chua mengenepikan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM3,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret pada Oktober tahun lalu. Ia digantikan dengan hukuman denda RM2,000 atau tiga bulan penjara. Hakim berkata Tian Chua mungkin hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika hukuman terdahulu dilaksanakan dan satu pilihan raya kecil perlu diadakan.

Bagaimanapun peguam Hanipa Maidin, Sankara Nair dan R. Sivarasa berkata tafsiran hakim itu tidak boleh dilihat sebagai hukuman atau kenyataan penghakiman, sebaliknya ia kenyataan ‘arbiter’.

Oleh itu ketiga-tiga mereka berpendapat bahawa jika pun diadakan pilihan raya kecil ia tidak boleh dianggap sebagai menghina mahkamagh. Tafsiran dan denda yang dikenakan dua perkara yang berbeza dalam kes ini.

“Tidak, tidak. Ia bukan soal tindakan menghina mahkamah,” kata Sivarasa.

Berbanding Shamsul dan Nazri, Hanipa dan Sankara menganggap kerusi itu kosong. Sivarasa berada dalam kumpulan Nazri.

Justeru, secara peribadi Sivarasa berpendapat Tian Chua mempunyai beberapa pilihan.

“Pertamanya, Tian Chua boleh mengubah fikiran dan memutuskan untuk membuat rayuan... beliau boleh mengubah fikiran walaupun mengatakan tidak akan membuat rayuan,” kata Naib Presiden PKR ini kepada The Malaysian Insider.

Selain itu kata beliau, Tian Chua juga membuat permohonan baru bagi mengisytiharkan bahawa kerusi disandangnya tidak kosong dan beliau masih layak untuk terus memegangannya.

Sivarasa menjelaskan Tian Chua boleh menggunakan alasan yang diketengahkan oleh hakim yang mendengar rayuannya minggu lalu bagi beliau mahu pilihan raya kecil dielakkan.

“Dengan itu Suruhanjaya Pilihan Raya tidak boleh memanggil pilihan raya kecil,” kata Sivarasa yang sekali lagi menegaskan kerusi Parlimen Batu tidak kosong sama sekali.

“Peguam-peguam biasanya mempunyai pandangan yang berlainan,” akui Sivarasa.

Pendakwa raya juga boleh membuat rayuan dan kemungkinan Tian Chua dikenakan hukuman lebih tinggi tidak boleh ditolak.

Itu satu kemungkinan yang akan berlaku dan terpaksa dihadapi oleh Tian Chua.

Bagaimanapun proses ke arah itu bukannya mudah, kata beliau.

Jika beliau gagal, Tian Chua boleh menggunakan peluang terakhir iaitu memohon pengampunan diraja.

“Sama ada Tian Chua membuat rayuan ataupun sebaliknya beliau masih boleh memohon pengampunan diraja kelak,” kata Sivarasa.

Sivarasa juga menambah, dalam kes Ahli Parlimen DAP Fan Yew Teng dari Menglembu, hakim tidak mengatakan apa-apa kecuali mengenakan hukuman.

Pada 1975, Fan terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen Menglembu selepas dia dihukum penjara enam bulan dan didenda RM2,000 selepas disabitkan kesalahan mengikut Akta Hasutan.

“Isu itu dibangkitkan di Dewan Rakyat, kemudian kes dibawa kes ke mahkamah di mana hakim mengatakan bahawa mahkanmah tidak boleh campur tangan dan keputusan Dewan Rakyat adalah muktamad,” katanya.

“Tian Chua ada hak untuk mencabarnya,” katanya.

“Mungkian pasukan peguam dan Tian Chua kemungkinan ada opsyen-opsyen lain... ini hanya akan diketahui esok, kita kena bergerak satu langkah demi satu langkah,” kata Ahli Parlimen Subang ini.

Sankara berkata, Tian Chua hanya boleh merayu di Mahkamah Tinggi dari sudut ‘point of law’ dan bukannya terhadap hukuman dikenakan Mahkamah Tinggi.

“Kedua-dua pihak ada tempoh 14 hari untuk membuat rayuan,” kata beliau sambil tidak menolak apa jua kemungkinan akan berlaku pagi ini.

“Mungkin hakim boleh mengubah hukuman... jika ini berlaku ia akan sesuatu yang jarang berlaku dan ia juga akan menjadi kes rujukan kelak.

“Jika tidak, hakim akan meminta supaya dibuat rayuan... tetapi sekarang semua pihak sudah terikat,” katanya.

Sankara berpendapat jarang seorang hakim akan mengubah keputusan yang dibuatnya selepas mahkamah selesai menjatuhkan hukuman. Barisan peguam sepatutnya telah membangkitkan isu ini ketika hakim membacakan keputusannya Khamis lalu.

Ia satu lagi opsyen yang kemungkinan dapat dilihat hari ini.

Berdasarkan pandangan Sankara kes semasa ini mempunyai beberapa opsyen sehingga ia selesai di peringkat pengampunan diraja kelak.

Seksyen 50 Akta Mahkamah Kehakiman menyebut bahawa mahkamah paling tinggi boleh mendengar rayuan sesuatu kes yang telah didengar di mahkamah majistret ialah mahkamah tinggi. Selepas peringkat itu kes-kes terbabit tidak dipersoal dari segi fakta tetapi hanya dari segi sama ada hakim mendengar kes telah membuat kesilapan dalam keputusannya.

Sankara menekankan, seseorang yang hendak membuat rayuan berhubung aspek berkenaan mesti memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan dalam tempoh 14 hari.

Sankara berkata beliau difahamkan peguam Tian Chua akan merujuk dalam kes Leong Yin Ming pada 1993. Mahkamah Agung ketika itu memutuskan bahawa perkataan “tidak kurang lima tahun” bermaksud lima tahun dan satu hari, dan ini boleh diguna pakai dalam kes Tian Chua.

Sivarasa juga berpendapat kemungkinan hakim kes rayuan memutuskan penghakimannya berdasarkan kes Leong.

“Ada kemungkinan hakim telah menggunakan kes Leong,” kata beliau yang mengikuti kes itu dengan dekat.

Berdasarkan kenyataan asal, Tian Chua tidak mahu membuat rayuan walaupun kemungkinan kehilangan kerusi meskipun hukuman telah dikurangkan.

Ketika dihubungi lewat malam tadi peguam Tian Chua, Amer Hamzah Arshad memberitahu The Malaysian Insider bahawa mereka akan membangkitkan kes Leong di mana Hakim Tan Sri Gunn Chit Tuan pada 1993 merumuskan soal “tidak kurang daripada” bermakna “lebih” dalam menjatuhkan hukuman.

Amer tidak mahu membuat spekulasi apa akan berlaku tetapi menegaskan akan mengetengahkan beberapa kes untuk membantu hakim kes dalam menjelaskan keputusannya.

“Kami akan membantu hakim dengan mengemukakan beberapa kes,” katanya.

Mengenai opsyen yang ada, Amer memberitahu, “salah satu opsyen yang ada ialah membuat rayuan.”

“Bagaimanapun ia bergantung kepada hasil pertemuan dengan hakim pagi esok (hari ini)... opsyen-opsyen lain kita kajian selepas itu,” kata beliau.

Hanipa yang juga penasihat undang-undang PAS berkata, “yang penting dalam kes ini bukanm tafsiran, tetapi keputusan hukuman yang dijatuhkan.”

“Pada pandangan saya apabila dijatuhkan denda RM2,000 bermakna kerusi itu kosong, bagaimanapun beliau masih boleh merayu... cuma saya tidak setuju tafsiran, tapi isunya di sini apakah keputusan hakim iaitu RM2,000 habis (hilang kelayakan),” katanya.

“Bagaimanapun saya tidak nampak sebagai tindakan menghina mahkamah” kata beliau dengan merujuk kepada kes Datuk Mahfuz Omar didapati bersalah terlibat dalam perhimpunan haram di depan Universiti Malaya bagi membantah pasukan kriket Israel pada 1997.

Ketika itu Mahfuz merupakan Ketua Dewan Pemuda PAS dan kini Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Pokok Sena. Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Sayani Mohd Noor menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara selama sebulan kepada Mahfuz dan tiga yang lain. Hukuman dijatuhkan pada November 2000 ketika Mahfuz merupakan anggota Dewan Rakyat.

Difahamkan Hanipa memohon mahkamah mengenakan hukuman supaya tidak menjejaskan kedudukan Mahfuz sebagai ahli Parlimen.

“Dalam soal Tian Chua, yang berhak untuk mentafsirkan undang-undang ialah hakim. Jadi kepada saya tidak perlu Parlimen memutuskan. Hakim telah memutuskan bahawa dia mendenda Tian Chua RM2,000 kerana dia tidak mahu Tian Chua hilang kelayakan. Kita kena ikut dia (hakim) punya intepretasilah,” kata Nazri semalam.

Di bawah Artikel 48 (1)(e) Perlembagaan, seorang ahli Parlimen hilang kelayakan jika dikenakan hukuman penjara bagi tempoh tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak mendapat pengampunan.

Jumaat lalu, Pengerusi DAP Karpal Singh berkata kerusi Batu perlu diisytiharkan kosong mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan. Mengikut Perkara 53 perlembagaan itu, seorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan serta-merta jika dia tidak merayu keputusan mahkamah dalam tempoh 14 hari.

Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan bahawa pejabat Speaker Dewan Rakyat yang mempunyai kuasa bagi menentukan status sesebuah kerusi parlimen berkenaan. Perkara 53 (1) menyebut “jika berbangkit apa-apa persoalan sama ada seorang ahli Majlis Parlimen telah hilang kelayakan, soal itu hendaklah diputuskan oleh Majlis Parlimen dan keputusan itu adalah muktamad”.

Terlalu awal untu memuktamadkan nasib yang menimpa Tian Chua. Pastinya ia tidak akan berakhir hari ini.

Dalam kes ini bukan sahaja Tian Chua memerlukan opsyen malah SPR, Dewan Rakyat dan Jabatan Peguam Negara memerlukan pilihan untuk dipertimbangkan bagi menjelaskan status kerusi Batu.

Jurang satu sen menimbulkan pelbagai persoalan implikasi undang-undang!

Tiada ulasan: