Selasa, 8 Jun 2010

Kerajaan perpaduan: Bukan isu tapi perwakilan PAS ‘bebas’ bangkit


KUALA LUMPUR — PAS menganggap isu kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan PAS dan Umno-BN sejak selepas pilihan raya umum 2008 sudah selesai dan tidak akan menjadi antara agenda utama pada muktamar tahunan di Kelantan minggu ini.

Sebaliknya muktamar kali ini akan memberi tumpuan ke atas pendekatan memperkukuhkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat, susulan hasil perbincangan mesyuarat tahunan DAP dan PKR baru-baru ini.

“Saya rasa tak akan timbul lagi... saya rasa (ia) sudah pun selesai, tak timbul lagi,” kata Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad ketika ditemui The Malaysian Insider ketika ditemui di sini.

Sehubungan itu kata beliau, pucuk kepimpinan juga tidak akan menghalang jika ada mana-mana perwakilan yang mahu membangkitkan semula isu berkenaan pada muktamar kali ini.

Malah katanya, PAS juga tidak akan menapis kandungan topik perbahasan para perwakilan.

“Isu itu tak timbul, kita (bersikap) terbuka,” kata beliau lagi.

“Kami tidak akan tapis, mereka boleh menyentuh apa sahaja. Jika ada yang hendak membangkitkan... boleh, dan jika ada, kami akan menjawab... pemimpin-pemimpin akan menjawab jika ia disentuh.

“Jika ada perkara yang membabitkan lajnah saya, saya akan menjawab... tiada masalah,” kata beliau.

Idris berkata, pihaknya menganggap perkara itu sudah selesai selepas pemimpin-pemimpin menjawabnya ketika sesi penggulungan Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam, Jun lalu.

Sesi penggulungan ketika muktamar lalu dilihat menjadi ‘panas’ dengan isu kerajaan perpaduan.

Dalam ucapan dasarnya tahun lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pakatan Rakyat dan kerajaan Umno-BN sendiri menyokong gagasan kerajaan perpaduan yang dicadangkannya untuk menyelesaikan masalah negara yang berlaku.

“Semua pihak termasuk Pakatan Rakyat perlu memahami dahulu konsep secara terperinci kerana ini merupakan perkara yang baru di Malaysia dan untuk memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Antara lain, beliau menjelaskan bahawa PAS bergerak secara kolektif bersama Pakatan Rakyat kerana mempunyai tanggungjawab bersama untuk menangani krisis ekonomi, politik, global dan sosial yang berlaku di Malaysia.

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan parti itu mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu “dua tiga kerat pemimpin bermasalah”, termasuk Hadi dan timbalannya.

Desakan Nik Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti berhubung isu kerajaan perpaduan walaupun dianggap sudah selesai Jun lalu.

Muktamar khas itu tidak diadakan, sebaliknya dilangsungkan seminar politik manakala jawatankuasa disiplin diarah menyiasat aduan terhadap Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr. Hasan Ali dan juga bekas timbalannya Khalid Samad yang juga Ahli Parlimen Shah Alam.

Saranan itu dikemukakan kira-kira empat bulan selepas pemilihan Jun 2009.

The Malaysian Insider difahamkan perkara itu menjadi perhatian semula sejak kebelakangan ini, sehingga kemungkinan dibangkitkan lagi dalam muktamar kali ini.

Ia antara lain ekoran penekanan Timbalan Presiden PAS Nasharudin Mat

Isa pada majlis pelancaran buku Natrah: Cinta, Rusuhan dan Air Mata Mac lalu.

Nasharudin dipetik berkata yakin usaha mewujudkan perpaduan di kalangan parti politik yang mewakili umat Islam boleh dicapai jika semua pihak berusaha bersungguh-sungguh ke arah itu.

Beliau berkata, semua pihak tidak harus bersikap mengalah walaupun beberapa usaha sebelum ini bagi mewujudkan persefahaman antara parti politik terbesar umat Islam iaitu PAS dan Umno terhenti di separuh jalan.

“Bagi sesetengah daripada kami, pendirian Nasharudin masih belum jelas (dalam isu kerajaan perpaduan).

“Isu kerjasama dengan Umno tidak ditangani dengan sepenuhnya,” kata seorang lagi pemimpin PAS dengan merujuk kepada kenyataan Nasharudin yang menyentuh tentang hubungan PAS-Umno Mac lalu, pada majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider, menurut Idris, Nasharudin telah menjelaskan kepada pucuk kepimpinan konteks dan maksud ucapannya itu pada majlis tersebut.

Malah menurut Idris, konteks ucapan beliau telah disalahertikan sehingga menimbulkan suasana tidak senang di kalangan ahli parti.

Oleh itu tegas Idris, beliau berpendapat isu berkenaan bukan lagi satu agenda untuk dibangkitkan lagi.

Dalam pada itu, Ketua Dewan Muslimat PAS pusat Nuridah Mohd Salleh ketika dihubungi memberitahu, sayapnya akan meminta pucuk kepimpinan parti meneruskan kerjasama politik dalam skop yang telah diterima bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, mengambil kira kekecewaan yang dialami PAS selama ini Dewan Muslimat tidak mahu kerjasama politik dengan pihak-pihak di luar Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun kata beliau, PAS boleh mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak demi kesejahteraan rakyat jelata.

“Saya akan sentuh (dalam ucapan saya) berhubung peranan PAS dalam Pakatan Rakyat, kita sedia berbincang dengan mana-mana pihak tetapi bukan kerjasama politik, kecuali dengan komponen dalam Pakatan Rakyat... sebagaimana telah dipersetujui.

“Kita terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan mana-mana pihak untuk kesejahteraan rakyat, bukannya kerjasama politik,” katanya lagi.

Tiada ulasan: