Ahad, 20 Jun 2010

Kerajaan Negeri Sediakan Bahan Binaan Surau Al-Qayyum

TV SELANGOR

Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim hari ini berkata usaha menyediakan kemudahan prasarana secara bergotong-royong merupakan satu langkah bertanggungjawab dan harus dicontohi oleh semua pihak.

Majlis yang diadakan oleh barisan ahli-ahli jawatankuasa surau Al-Qayyum merupakan usah merealisasikan impian seluruh ahli kariah Bandar Armada Putra untuk memiliki sebuah surau yang lebih selesa untuk beribadat dan menjalankan aktiviti kemasyarakatan.

Khalid berkata kerajaan negeri akan membantu dengan menampung kos bahan binaan untuk pembangunan surau itu sahaja sementara kerja-kerja pembinaan akan diuruskan oleh mereka.

"Kerajaan negeri akan memberikan sokongan dari segi kos untuk bahan-bahan pembinaan. Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan akan mengendalikan pembinaannya. Oleh itu kita akan lihat semua pihak akan memberi sumbangan," katanya.

Seluruh pembiayaan pembinaan surau ini merupakan hasil kutipan dana dari usaha seluruh barisan ahli jawatankuasa surau yang turut disertai oleh seluruh ahli kariah Bandar Aramada Putra.

Kini dengan adanya golongan profesional dan bertambahnya jumlah kontraktor di negeri ini, projek-projek pembangunan dan penyelenggaraan prasarana tersebut mampu dilakukan dengan penyertaan masyarakat setempat.

Konsep gotong royong di kalangan penduduk dalam pembinaan dan penyelenggaraan prasarana, mampu menanamkan sikap menghargai kemudahan-kemudahan awam yang disediakan untuk mereka.

"Dengan ini kita dapat mencuba konsep baru, iaitu rakyat sendiri menyertai pembangunan ini. Ini satu langkah kepada peningkatan pemahaman merakyatkan ekonomi negeri Selangor," katanya lagi.

Khalid turut menyatakan dengan adanya surau ini, para pekerja di tapak perindustrian di sekitar Pulau Indah dapat menunaikan solat Jumaat yang kini dilakukan di empat unit lot kedai yang dijadikan dewan solat sumbangan pemaju.

Setakat ini RM100,000 telah berjaya dikumpulkan bagi membina surau yang dijangka dapat memuatkan 600 jemaah pada satu-satu masa.

Kos pembinaan surau seluas 3,000 kaki persegi ini dianggarkan berharga RM900,000.

Khalid berkata beliau pasti dengan terbinanya surau yang baru ini, sinar islam akan terus berkembang manakala kesepakatan penduduk dapat dirapatkan dan diperkukuhkan. merasmikan upacara pecah tanah dan penetapan arah kiblat bagi pembinaan surau Al-Qayyum bandar Armada Putra, Pulau Indah Pelabuhan Klang.

Tiada ulasan: