Isnin, 14 Jun 2010

Kementerian Pelajaran Siasat Kes Buli Pelajar Yang Disiarkan Menerusi Youtube

BERNAMA

PETALING JAYA: Kementerian Pelajaran memandang serius kejadian buli yang melibatkan pelajar sebuah sekolah di Johor Baharu yang disiarkan dalam YouTube beberapa hari lalu dan dilaporkan oleh sebuah akhbar berbahasa Cina kelmarin.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti kejadian sebenar.

"Kita akan siasat sampai kita dapat jawapan tentang apa sebenarnya berlaku termasuklah identiti pelajar tersebut. Kita juga minta pihak sekolah dan negeri berkenaan untuk beri satu laporan apa sebenarnya berlaku.

"Saya juga minta pihak berkuasa termasuk Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri dan pihak sekolah dapat mengawasi apa yang berlaku dan kita tak mahu perkara ini berleluasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Boling Kumpulan Tan Chong di sini semalam.

Menurut laporan akhbar berkenaan, klip video itu memaparkan pelajar perempuan terbabit, yang dikenali sebagai 'Big Sister", menampar rakan sekolahnya itu di hadapan pelajar lain.

Akhbar itu turut menyebut Big Sister kemudian menyalakan rokok dan memberi 'syarahan' kepada mangsa, yang kelihatan menangis, dengan diperhatikan oleh rakan-rakan sekolahnya.

Wee yang juga Ketua Pemuda MCA berkata ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memastikan kejadian buli tidak berlaku di kalangan pelajar sekolah.

Beliau berkata ibu bapa harus sentiasa memantau dan mengetahui aktiviti anak-anaknya untuk memastikan mereka tidak terlibat dalam aktiviti tidak sihat apabila meninggalkan rumah.

"Hubungan akrab ibu bapa dengan pihak sekolah juga merupakan sesuatu yang amat penting dan patut dititikberatkan. Jangan apabila berlaku tindakan disiplin diambil terhadap pelajar, maka (ibu bapa) terus ke sekolah nak persoalkan guru.

"Kenal pasti dahulu apa sebab anak dihukum, ada anak di rumah perangai cukup tertib, tapi di sekolah lain pula perangai dia, ini kita kena tengok demi kebaikan ibu bapa juga," katanya.

Seramai 288 peserta terdiri daripada kakitangan Kumpulan Tan Chong menyertai kejohanan boling itu.

Tiada ulasan: