Ahad, 20 Jun 2010

Kementerian Kesihatan kaji selaraskan skim "1 Care" dengan KWSP

BERNAMA

KUALA LUMPUR — Kementerian Kesihatan sedang mengkaji langkah menyelaras skim pembiayaan kesihatannya, “1 Care for 1Malaysia” seperti yang dicadangkan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) baru-baru ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengadakan sesi taklimat dengan KWSP mengenai skim itu dan beberapa rundingan lagi akan diadakan.

"Sebaik saja dilaksanakan, usaha KWSP untuk menyediakan pembiayaan bagi perkhidmatan kesihatan juga dijangka akan diselaras dengan dasar 1Care,” katanya kepada Bernama.

KWSP baru-baru ini mengumumkan bahawa skop pengeluaran diperluaskan bagi penyakit-penyakit kritikal dari 13 ke 36 dan juga rawatan untuk anggota keluarga di bawah umur 16 tahun bagi penyakit lelah yang berat, leukemia dan kecacatan intelektual akibat sakit dan kemalangan.

Dr. Mohd. Ismail berkata, tindakan KWSP itu adalah “satu langkah sementara yang berguna” yang memberikan orang ramai lebih banyak pilihan bagi mendapatkan rawatan khususnya di sektor swasta dan bagi meliputi lebih banyak penyakit“catastrophic”.

Tiada ulasan: