Khamis, 3 Jun 2010

'Kasino' dalam hutan diserbu


SEBAHAGIAN daripada kaki judi yang ditahan polis dalam serbuan ke atas 'kasino' di tapak bekas kuari berhampiran Lebuh Relau, Pulau Pinang, malam semalam.


PULAU PINANG - Walaupun tapak sebuah bekas kuari berhampiran Lebuh Relau di sini dikelilingi hutan dan becak, namun ia tidak menghalang sindiket perjudian menjalankan aktiviti ala kasino di situ.

Bagaimanapun, selepas dipercayai beroperasi selama seminggu di kawasan itu yang lengkap dengan pondok pengawal, sindiket berkenaan akhirnya tumpas apabila polis menyerbu kawasan tersebut malam tadi.

Dalam serbuan oleh lima pegawai dan 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada pukul 10.30 malam, seramai 39 lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 70 tahun berjaya ditahan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kedudukan tempat perjudian yang agak tersembunyi dan ditutupi papan yang diletakkan seperti dinding, menjadikan kawasan tersebut 'selamat' daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

Malah, tempat yang turut ditenggelami air dan beroperasi menggunakan generator itu boleh dikatakan selesa kerana turut dilengkapi kerusi, meja, kipas serta peralatan lengkap perjudian menggunakan dadu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika ditemui berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat orang awam dan intipan oleh pihaknya selama tiga hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati aktiviti perjudian berkenaan bukan sahaja disertai oleh kaki judi tempatan tetapi dari Perak dan Kedah.

"Siasatan juga menunjukkan sindiket itu baru sahaja aktif menggunakan kaedah dadu dan cip bagi menggantikan wang tunai dan ia terbahagi kepada dua iaitu coklat mewakili RM5 dan merah pula RM10.

"Mereka dipercayai memulakan operasi pada pukul 12.30 tengah hari sehingga 6 pagi dan menggunakan kata laluan khas dalam aktiviti urus niaga," katanya.

Tambahnya, polis juga percaya sindiket tersebut mempunyai kaitan dengan pihak yang menganjurkan aktiviti perjudian di sebuah tokong di Paya Terubong yang diserbu pada minggu lepas.

Tiada ulasan: