Khamis, 24 Jun 2010

Karpal Dakwa Pegawai Tinggi PDRM Terlibat Kes Bunuh Ketua Polis Negara

Oleh Rusnizam Mahat


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh membangkitkan semula kes pembunuhan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahman Hashim 36 tahun lalu yang sehingga hari ini menimbulkan banyak persoalan mengenai siapa sebenarnya terlibat dalam kes pembunuhan tersebut.

Ketika meminta penjelasan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop di parlimen semalam, Karpal meminta kerajaan memberikan penjelasan mengenai isu itu.

"Mengenai apa yang terjadi dalam tahun 1974, Ini disiarkan dalam suratkhabar, pembunuhan Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara masa itu. Saya bangkitkan perkara ini dalam Dewan yang mulia ini untuk dapat tahu siapakah yang bunuh Ketua Polis Negara itu," soal beliau.

Karpal berkata, dalam kes itu dua anggota Parti Komunis Malaya dituduh membunuh Abdul Rahman dan dijatuhkan hukuman gantung.

Dua anggota PKM itu hanya dituduh membunuh Ketua PolisNegara kira-kira setahun selepas kejadian.

"Tapi apa yang terang ialah pembunuhan (Abdul Rahman) itu tidak dilakukan oleh dua orang anggota parti komunis.

"Saya mewakili satu daripada dua mereka. Saya mewakili sebelum dia digantung. Dia mengaku, sebelum dia digantung dia mengatakan kepada saya dia tidak ada kena mengena dengan pembunuhan tersebut," ujar beliau.

Menurut Karpal, ketika mewakili tertuduh yang bernama Lim Woon Chong, dalam kes pembunuhan Ketua Polis Perak yang dijatuhkan hukum gantung oleh hakim Tan Sri Harun Hashim pada 1980, beliau memohon penangguhan hukuman itu sebelum kes pembunuhan Abdul Rahman Hashim selesai.

"Saya mohon perintah mahkamah dia dibebaskan dan dilepaskan dari tuduhan itu. Ini bermakna bukan dia yang bunuh. Siapa yang terlibat? Apa yang saya difahamkan ada seorang yang tinggi dalam polis terlibat. Bukan orang komunis. Sehingga hari ini kes itu tidak selesai, 36 tahun selepas pembunuhan itu," tegas Karpal.

Abu Seman ketika menjawab soalan berkenaan berkata, kes itu bukan merupakan isu baru dan telah begitu lama berlaku.

"Isu ini dibangkitkan bukan isu baru, setakat ini tidak ada maklumat yang ada di sini," katanya.

Jawapan spontan Abu Seman menimbulkan kemarahan Karpal yang menyifatkan Abu Seman sebagai tidak serius terhadap persoalan yang dibangkitkan beliau sejak sekian lama.

"Tuan speaker, menteri ini main-main. Bolehkah saya dapat penjelasan. Saya dah bangkitkan perkara ini kerap kali sehingga hari ini," ujarnya.

Bagaimanapun soalan Karpal tidak diendahkan Abu Seman yang terus menyentuh isu lain.Abdul Rahman Hashim merupakan Ketua Polis Negara ketiga yang dilantik mengetuai pasukan keselamatan itu, sebelum beliau mati ditembak pada Jun 1974.

Tempat beliau kemudian digantikan oleh timbalannya, Tun Hanif Omar yang memegang jawatan berkenaan dari 8 Jun 1974 sehingga 15 Januari 1994.

Sebelum ini, anak Allahyarham, Najib Abdul Rahman dalam satu artikelnya yang disiarkan dalam akhbar The Sunday Times, menceritakan semula mengenai detik-detik pembunuhan bapanya.

Sekaligus ia membangkitkan semula pertanyaan Karpal tentang siapa sebenarnya pembunuh Abdul Rahman dan menggesa kerajaan membuka semula siasatan terhadap pembunuhan bekas Ketua Polis Negara itu.

Tiada ulasan: