Jumaat, 4 Jun 2010

Judi sukan: Peminat bola pelbagai kaum kata ‘jangan halalkan’



KUALA LUMPUR — Hasil pungutan suara menunjukkan keputusan mengejutkan dengan golongan muda, yang meminati sukan, umumnya membantah keputusan kerajaan menghalalkan judi sukan, yang dipercayai akan bermula dengan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010.

Rata-rata majoriti golongan muda daripada kalangan semua kaum utama negara ini yang ditemui di Lembah Klang membantah langkah tersebut.

Hampir 77 peratus responden yang ditemui berpendapat bahawa kerajaan tidak wajar melesenkan pertaruhan sukan. Hanya 23 peratus yang bersetuju dengan langkah itu.

Peratusan dua pertiga membantah itu membabitkan pendirian responden Melayu dan Cina manakala seratus peratus responden golongan muda India tidak bersetuju sama sekali dengan langkah kerajaan itu.

Seramai 73 peratus dan 77 peratus masing responden Melayu dan Cina tidak bersetuju langkah melesenkan judi sukan.

Mereka berpendapat keputusan melesenkan pertaruhan sukan akan memberikan kesan buruk kepada sukan dan juga masyarakat.

Pendirian ini dilahirkan ketika beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan membabitkan kesemua kaum memprotes langakh kerajaan ini.

Setakat ini dua kerajaan negeri Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang dan Selangor memutuskan untuk tidak memberi kebenaran kepada operasi lessen judi sukan.

Selain itu, imej sukan yang selama ini bersih akan tercemar apabila pertaruhan tersebut diluluskan selain mungkin akan wujud proses jual-beli dalam sukan, kata beberapa responden yang ditemui.

Operasi lesen peraturan atau judi memerlukan kebenaran pihak berkuasa tempatan.

Hasil pungutan suara itu jelas membuktikan bahawa bukan sahaja orang Melayu tetapi kaum-kaum lain juga membantah usaha melesenkan pertaruhan sukan.

Salah seorang responden yang ditemui, Mohd Affendy Abu Bakar, 24, usaha kerajaan untuk melesenkan pertaruhan sukan akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat di negara ini.

“Apakah faedah yang boleh rakyat dapat apabila pertaruhan sukan diluluskan?

“Ia hanya memberikan lebih banyak kesan buruk kepada masyarakat berbanding kebaikan,” kata kakitangan swasta ini.

Seorang lagi kakitangan swasta, Noor Azam Zainal Abidin, 25 berkata keputusan untuk meluluskan pertaruhan sukan tidak memberikan sebarang faedah kepada masyarakat.

“Masyarakat tidak mendapat sebarang faedah, sebaliknya hanya memberikan kesan buruk dalam masyarakat.

“Jadi bagi saya adalah lebih baik kerajaan membatalkan hasrat tersebut bagi kebaikan semua pihak,” katanya.

Bagi pelajar, Khairul Anuar Salleh, 22 berkata kelulusan tersebut hanya memberikan kesan buruk kepada masyarakat selain mencemar imej sukan di negara ini.

Bagaimanapun kakitangan swasta Wan Mohd Tarmizi Wan Ismail, 29, yang bersetuju dengan langkah kerajaan kerana langkah melesenkan akan menghalang perjudian haram daripada berleluasa.

“Saya setuju kerana saya lihat ia dapat menghalang perjudian haram ini daripada terus berleluasa.

“Tapi banyak perkara perlu dibuat untuk mengatasi masalah perjudian haram yang semakin berleluasa,” katanya.

Pendapatnya disokong kakitangan swasta, Chan Weng Chun, 30 yang bersetuju dengan cadangan kerajaa itu dan pada masa sama dapat menghalang perjudian haram daripada berleluasa.

“Sekarang kita lihat perjudian haram semakin berleluasa jadi cadangan kerajaan itu dapat menghalangnya.

“Selain itu, pihak berkuasa juga dapat mengawal perjudian haram ini dengan mudah apabila cadangan tersebut dilulusan,” katanya.

Tiada ulasan: