Selasa, 15 Jun 2010

Judi sukan: GMJ persoal kenyataan canggah kerajaan, Berjaya


KUALA LUMPUR — Gerakan Rakyat Membantah Judi (GMJ) hari ini mendesak kerajaan supaya membuat penjelasan mengenai status sebenar pemberian lesen judi sukan kepada Kumpulan Berjaya.

Ini kerana terdapat banyak laporan yang bercanggah mengenai status sebenar pemberian lesen judi apabila kerajaan dalam laporan mengatakan ia masih belum muktamad tetapi Kumpulan Berjaya pula mengatakan sudah memperoleh lesen tersebut.

Menurut Setiausaha GMJ, Suhaizan Kaiat, pencanggahan laporan antara kerajaan dan Kumpulan Berjaya menyebabkan rakyat keliru mengenai status sebenar pemberian lesen judi tersebut.

“Kerajaan kata keputusan belum muktamad tetapi Kumpulan Berjaya pula cakap dah dapat, mana satu status sebenarnya?

“Kenapa kerajaan berat sangat hendak membuat penjelasan dalam isu ini? Kalau sudah beri mengapa tidak buat penjelesan?” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Beliau berkata tindakan kerajaan yang masih merahsiakan status sebenar pemberian lesen judi tersebut membuatkan rakyat keliru.

“Rakyat nak tahu status sebenar tetapi kerajaan masih merahsiakannya. Ini membuatkan mereka keliru dan tertanya-tanya mengenai status lessen judi tersebut.

“Apabila kerajaan masih mendiamkan diri maka maklumat sebenar tidak dapat disalurkan kepada rakyat dan mereka masih ternanti-nanti penjelasan daripada kerajaan,” katanya.

Selain itu, GMJ menggesa supaya semua Ahli parlimen terutamanya dari Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian mereka dalam isu lesen judi ini kerana sehingga kini masih berdiam diri.

The Malaysian Insider difahamkan GMJ akan menyerahkan memorandum kepada semua Ahli Parlimen di bangunan Parlimen pada pukul 11 pagi esok.

“Dalam memorandum ini kita akan memberikan tiga tuntutan kepada Ahli Parlimen iaitu menarik balik lesen judi sukan, menguatkuasakan undang-undang judi dan mendidik masyarakat membenci judi.

“Melalui tiga tuntutan ini kita mahu mereka (Ahli Parlimen) membahaskan isu ini dalam persidangan.

“Selain itu, kita juga mahu Ahli Parlimen BN supaya menyatakan pendirian mereka dalam isu ini kerana sehingga kini masih mendiamkan diri,” kata Suhaizan.

GMJ dibentuk bagi menggerakkan rakyat untuk turut sama membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen judi sempena bola sepak Piala Dunia.

Tiada ulasan: