Isnin, 21 Jun 2010

Jemaah tinggal dekat Masjidil Haram

SIK – Tabung Haji telah membuat persiapan rapi dalam memastikan semua jemaah haji Malaysia tinggal dalam keadaan selesa dan dekat dengan Masjidil Haram ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata , jemaah haji negara ini akan diberikan penginapan pada jarak antara 1.2 kilometer dengan Masjidil Haram berbanding jemaah dari negara lain.

“Kita telah membuat persiapan rapi supaya lebih memberi keselesaan keada jemaah dari negara ini,” katanya selepas merasmikan program Juara Rakyat di Pondok Ahmadiah Kuala Beris dekat sini hari ini.

Dalam pada itu Jamil Khir berkata, Malaysia masih menunggu jawapan daripada kerajaan Arab Saudi dalam menetapkan kuota jemaah haji negara ini.

Katanya, kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang berusaha untuk memastikan kuota jemaah haji Malaysia dapat ditambah pada tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan telah memohon kepada kerajaan negara berkenaan supaya kuota haji bagi jemaah dari negara ini ditambah.

Katanya, setakat ini kuota jemaah haji bagi Malaysia masih kekal iaitu sebanyak 26,000 orang.

Sementara itu beliau memberitahu, Tabung Haji akan memberi keutamaan kepada bakal haji yang berusia lebih 75 tahun untuk mengerjakan haji tahun ini.

Selain itu katanya, mereka yang sakit dan Orang Kurang Upaya(OKU) yang mempunyai muhrim masing-masing akan turut diberikan keutamaan.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan sentiasa bersedia memberi bantuan pendidikan kepada sekolah-sekolah agama berasaskan sistem pengajian pondok di negara ini dalam usaha meningkatkan tahap pengajian Islam di sekolah berkenaan.

Jamil Khir berkata, sekolah-sekolah pondok tidak terkecuali daripada mendapat bantuan pendidikan sekiranya mereka berdaftar dengan Kementerian Pelajaran di bawah program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan(SABK).

“Sekolah pondok tidak terasing untuk turut diberi bantuan tetapi mereka perlu mendaftar di bawah program SABK ini,” katanya.

Pada majlis itu itu Jamil Khir turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada pengurusan Pondok Ahmadiah bagi kemudahan pondok yang mempunyai pelajar kira-kira 132 orang.

Pada program itu juga, kira-kira 100 penduduk termasuk penghuni pondok dan beberapa penduduk keturunan Siam menerima sumbangan daripada beliau.

Tiada ulasan: