Rabu, 16 Jun 2010

Jemaah Islamiah: TPM serah kepada polis

BERNAMA



Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung cubaan anggota Jemaah Islamiah (JI) merekrut penuntut universiti dan remaja tempatan.

Beliau difahamkan satu pertemuan antara Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan semua naib canselor Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) akan diadakan dalam tempoh terdekat.

"Taklimat khas akan diadakan pada pertemuan ini, ia akan membincangkan bentuk kerjasama yang boleh diambil antara semua pihak bagi mengekang penularan gejala tidak sihat yang boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Ini perkara serius dan tidak boleh dipandang ringan, kita serahkan kepada pihak polis yang menjaga keselamatan negara untuk menjalankan siasatan dengan terperinci,” katanya kepada pemberita di Pulau Pinang hari ini.

Semalam, Musa mendedahkan bahawa sejak awal tahun ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 10 anggota JI yang cuba menghidupkan kembali perjuangan mereka dengan merekrut pelajar universiti dan remaja tempatan.

Musa berkata semua mereka yang ditahan adalah kumpulan yang berasingan, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) awal tahun ini kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Muhyiddin berharap semua IPTA dan IPTS lebih berwaspada dengan perkara itu yang biasanya dilakukan di luar pengetahuan pihak pentadbiran universiti dan kampus.

"Pihak polis ada banyak maklumat dan tahu pergerakan mereka ini, oleh itu kerjasama semua pihak sangat penting bagi jaminan keselamatan negara," katanya.


Tiada ulasan: