Selasa, 15 Jun 2010

Jemaah Islamiah sasar pelajar

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


KUALA LUMPUR: Gerakan Jemaah Islamiah (JI) di negara ini sudah mengambil sekurang-kurangnya 30 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan remaja tempatan untuk menyertai kumpulan itu.

“Maklumat mengenai gerakan merekrut pelajar IPT dan remaja Malaysia itu diperoleh hasil siasatan terhadap 10 warga asing yang ditahan sejak awal tahun ini,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

“Perkara itu terbongkar selepas polis menahan 10 individu warga asing, dipercayai saki baki anggota JI sejak awal tahun ini. Mereka ditahan kerana disyaki terbabit dengan kumpulan militan dan dihantar pulang ke negara asal untuk dikenakan tindakan undang-undang.

“Maklumat yang kita peroleh mendapati sehingga kini mereka sudah merekrut 20 hingga 30 pelajar institusi pengajian tinggi dalam usaha untuk mewujudkan kembali perjuangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, semalam.

Beliau berkata, perkembangan itu amat membimbangkan kerana anasir militan kini mengubah strategi dalam merekrut anggota baru.

“Malah, mereka sering mengadakan ceramah berbentuk ekstremis untuk menarik golongan itu menyertai mereka. Polis memandang serius perkara ini dan saya memberi jaminan akan mengarahkan anggota serta pegawai untuk memantau pergerakan pelajar yang sering menghadiri ceramah sedemikian,” katanya.

Musa juga meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Akhbar sebelum ini melaporkan polis menahan sembilan warga asing dan seorang rakyat tempatan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit dengan rangkaian pengganas antarabangsa pada Januari lalu.

Malah, mereka dikatakan mempunyai hubungan dengan Umar Farouk Abdulmutallab, 24, warga Nigeria yang cuba meletupkan kapal terbang di Amerika Syarikat pada Krismas tahun lalu.

Tiada ulasan: