Khamis, 24 Jun 2010

Jangan anggap penuntut IKBN golongan tercicir

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub mahu kerajaan memberikan penekanan yang lebih serius terhadap soft skill iaitu kaedah bagi melahirkan belia yang berkemahiran tinggi dan memenuhi permintaan pasaran kerja.

Memfokuskan kepada penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Salahudin ketika mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan tidak harus membiarkan penuntut IKBN terus diberikan persepsi bahawa mereka ialah golongan tercicir dalam pelajaran sebaliknya harus menyediakan mereka dengan soft skill yang diperlukan.

"Adakah kementerian memastikan bahawa IKBN ini tidak akan sama lagi persepsinya seperti mana sekolah-sekolah vokasional atau pun yang masuk IKBN ini golongan tercicir.

"Soft skill ini penting untuk diberikan kepada mereka dan apakah langkah-langkah kementerian supaya soft skill ini akan mencapai matlamatnya seperti yang diharapkan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan mengoptimakan penyediaan soft skill kepada bukan sahaja penuntut di IKBN tetapi juga kepada seluruh penuntut institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pengajian tinggi swasta (IPTS).

Sebelum itu, Datuk Seri Tiong King Sing dalam soalan asal meminta Menteri Belia dan Sukan menyatakan sejauh manakah pihak kementerian memastikan sumber guru yang disediakan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dapat memberikan didikan yang berkualiti supaya dapat memenuhi kehendak pasaran.

Beliau juga ingin tahu sejauh manakah pihak kementerian mengambil langkah untuk menggalakkan kaum-kaum bumiputera untuk belajar di IKBN dan IKTBN.

Tiada ulasan: