Jumaat, 25 Jun 2010

JAKIM siasat ‘dalang’ kait ulama’ dengan pengganas

Oleh Jamilah Kamarudin

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memberi jaminan akan menyiasat ‘dalang’ yang mencetuskan salah faham dengan mengaitkan beberapa tokoh agama dan pemimpin negara dengan ancaman pengganas Jemaah Islamiah (JI) serta fahaman Wahabi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi melakukan pemantauan penuh terhadap isu ini.

"Isu ini sudah pun berada dalam penelitian KDN dan kita di Jakim akan selalu memantau perkembangan ini sehingga satu laporan siasatan penuh akan disiapkan.

"Saya memerlukan gambaran keseluruhan yang sebenarnya kerana isu ini hangat ditimbulkan dalam portal berita dan bukannya secara rasmi. Jadi kita akan usaha untuk mendapatkan laporan lengkap tidak lama lagi," katanya selepas merasmikan Majlis Semarak Bersama Wira Gaza di sini hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Zamihan Mat Zin yang mengaitkan pemikiran bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin selari dengan fahaman Wahabi, Jamil turut memberi
amaran kepada semua pihak agar tidak lagi menimbulkan isu mengaitkan ulama’ dengan pengganas.

"Kita menolak keganasan JI, tetapi dengan mengaitkan kumpulan pengganas dengan ulama’, ini adalah tidak wajar sama sekali.

"Pihak polis ada maklumat. Saya nasihatkan orang awam agar jangan ambil pendekatan sendiri dan jangan labelkan golongan tertentu sebagai pengganas. Kita perlu ada sumber rasmi daripada KDN," katanya.

Zamihan semasa pembentangan kertas kerja berhubung "pengganas agama" minggu lalu mendakwa Dr Asri mempunyai pemikiran yang sama dengan Wahabi berdasarkan analisis beliau terhadap hasil tulisan Dr Asri melalui sebuah buku "Bid’ah Hasanah" yang
diterbitkan beberapa tahun lalu.

Dalam ulasan mengenai buku itu, Zamihan menyatakan pandangannya Dr Asri yang menyamakan (sambutan) Maulud Nabi dengan amalan orang Kristian merupakan pandangan yang “keras”, dan jika tidak dibendung boleh menjurus ke arah pendekatan “radikal” di negara ini.

Selain Dr Asri, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan mufti negeri Perlis Dr Juanda Jaya sebelum ini juga turut dikaitkan dengan ‘lingkaran’ keganasan.


Tiada ulasan: