Selasa, 15 Jun 2010

Jaga Sensitiviti Agama, Budaya Antara Kaum

Oleh Suraaya Hulaimi


PENGKALAN CHEPA - Semua pemimpin dan ahli PAS diminta menjaga sensitiviti ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) selepas mereka diterima sebagai sahabat dalam PAS.

Antara isu yang sensitif adalah makanan apabila anggota parti menjemput ahli DHPP menyertai kenduri yang dianjurkan.

"Kalau kita amat sensitif dengan khinzir, mereka daripada kaum India yang beragama Hindu pula sensitif dengan daging lembu.

"Jadi kalau kita nak buat kenduri dan mengajak mereka datang, kita kena sesuaikan menu kita misalnya daripada daging lembu kita ubah kepada kambing, ayam atau ikan," kata AJK PAS Pusat yang juga anggota parlimen Kota Raja, Dr Mariah Mahmud dalam ucapannya di Muktamar PAS ke-56 yang berakhir Ahad lalu.

Dr Mariah juga meminta ahli PAS khasnya kaum lelaki menjaga sensitiviti kaum wanita kerana PAS kini adalah parti yang bercita-cita mahu ke Putrajaya.

"Misalnya apabila kita suka sangat membuat lawak dengan isu poligami. Kita kena ingat, kebanyakan wanita di luar sana sangat sensitif dengan isu ini yang terkesan akibat pengalaman negatif daripada poligami," kata Dr Mariah.

Beliau turut menegur sikap Pengerusi Tetap, Abu Kassim Abdullah yang suka membuat lawak dalam isu poligami tanpa menyedari ia telah menghiris perasaan sesetengah wanita.

Dr Mariah juga membantah cara sebahagian masyarakat yang suka menyalahkan wanita sahaja dalam isu wanita mengandung tanpa suami.

"Misalnya apabila wanita mengandung atau hilang dara, siapakah yang menyebabkan wanita ini mengandung dan hilang dara?" soal beliau.

Di samping itu, Dr Mariah juga meminta ahli dan penyokong PAS menjaga kebersihan dalam amalan seharian mereka.

"Konsep jumpa sampah ambil dan bawa balik dan buang ke tong sampah ini perlu dijadikan amalan.

"Semalam kami ke sebuah masjid untuk sembahyang. Kami tak lalu nak masuk tandas masjid itu kerana terlalu kotor dan terus ambil air sembahyang dan solat sahaja," kata Dr Mariah sambil memberikan contoh budaya pengotor di kalangan umat Islam yang sangat tidak selari dengan ajaran Islam.


Tiada ulasan: