Selasa, 8 Jun 2010

Isteri polis tipu tukang rumah dipenjara 7 tahun

UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR - Isteri kepada seorang anggota polis terpaksa meringkuk di penjara selama tujuh tahun akibat perbuatannya menipu seorang tukang rumah sebanyak RM33,400, empat tahun lalu.

Zarinawati Kang Abdullah, 48, diperintahkan menjalani hukuman itu oleh Hakim Azizah Mahamud selepas tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menipu yang dihadapinya.

Ibu kepada dua anak itu didakwa memperdaya Loo Kam Weng, 53, agar mempercayainya bahawa dia akan berniaga barangan hasil lelongan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) termasuk 60 buah telefon bimbit dan lapan buah komputer riba.

Perbuatan tertuduh telah mendorong mangsa menyerahkan RM23,000 kepadanya di Maybank Berhad Cawangan Wangsa Maju dekat sini pada 8 Ogos 2006.

Empat hari berikutnya, Zarinawati didakwa melakukan perbuatan yang sama sehingga mendorong mangsa tersebut menyerahkan wang RM2,800 kepadanya di Medan Selera Jalan Semarak di sini.

Bagi tuduhan ketiga dan keempat pula, tertuduh sekali lagi didakwa memperdaya mangsa menyerahkan RM2,800 dan RM4,800 untuk tujuan yang serupa pada 16 Ogos dan 20 Ogos 2006 di Gurney Heights Jalan Bukit Keramat di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda.

Peguam bela, K. Komagan memohon hukuman penjara dalam tempoh yang singkat dan berjalan serentak dikenakan terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga walaupun mempunyai suami.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Fazril Sani Mohamed Fadzil mencadangkan agar tertuduh dikenakan hukuman lebih berat memandangkan dia mempunyai rekod lampau dan pernah dipenjarakan bagi kesalahan yang sama.

Menurut Fazril Sani, tertuduh tidak menunjukkan keinsafan walaupun pernah menjalani hukuman sebelum ini.

Azizah memutuskan hukuman penjara tiga tahun bagi tuduhan pertama, penjara setahun masing-masing bagi tuduhan kedua dan ketiga serta penjara dua tahun bagi kesalahan keempat.

Kesemua hukuman diperintahkan berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Tiada ulasan: