Isnin, 14 Jun 2010

Indonesia asingkan penumpang bas elak gangguan seksual

BERNAMA

JAKARTA — Insiden gangguan seksual pada kalangan penumpang bas wanita di kotaraya ini dijangka dapat dikurangkan apabila syarikat pengendali perkhidmatan bas utamanya, Transjakarta menguatkuasakan pengasingan penumpang lelaki dan wanita di semua perhentiannya bermula Khamis ini.

Ketua Badan Layanan Umum Transjakarta Daryati Asrining berkata menerusi peraturan itu penumpang lelaki dan wanita akan berbaris dan menaiki bas mengikut pintu berlainan.

Terlalu banyak aduan mengenai penumpang lelaki mengambil kesempatan daripada kesesakan di perhentian bas untuk membuat gangguan seksual terhadap golongan wanita seperti menggesel dan meraba semasa berasak-asak menaiki bas, katanya di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan penumpang wanita berasa tidak selesa untuk menggunakan perkhidmatan tersebut yang mengenakan bayaran RP3,500 (Rp100=RM0.03) bagi semua destinasi.

Katanya kes sedemikian juga jarang dilaporkan kepada polis memandangkan kejadian sukar dibuktikan menyebabkan pelaku terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang.

Tinjauan Bernama di sekitar kotaraya untuk melihat pelaksanaan peraturan itu yang kini pada peringkat percubaan mendapati kebanyakan penumpang tidak menghiraukan notis peraturan yang ditampal di perhentian bas terbabit.

Seorang penumpang wanita yang ditemui Bernama, Mahtisa Iswari menyambut baik langkah itu kerana setidak-tidaknya penumpang wanita tidak perlu lagi berebut-rebut dengan kaum lelaki untuk menaiki bas.

“Kami tidak harus berebut dengan lelaki yang tentu lebih kuat tenaganya,” katanya yang bagaimanapun meragui keberkesanan peraturan itu.

Sementara itu anggota pengurus harian Yayasan Lembaga Pengguna Indonesia (YKLI) Tulus Abadi berpendapat dasar itu tidak akan menyelesaikan permasalahan tersebut.

“Pemisahan lelaki dan wanita yang hanya dilakukan di barisan menunggu adalah tidak masuk akal kerana di dalam bas penumpang akan kembali bercampur,” kata Tulus yang juga Anggota Dewan Pengangkutan Kota Jakarta.

Beliau berkata masalah sebenar berpunca daripada kekurangan bas dan tempoh menunggu yang lama.

YKLI dalam kajian pada Mac lepas mendapati penumpang harus menunggu antara 15 dan 20 minit sebelum dapat menaiki bas, manakala jumlah bas yang kurang daripada 500 buah pula tidak dapat menampung 252,000 penumpang setiap hari, katanya.

Tiada ulasan: